'Baba meninggal bukan sebab vaksin'
KOTA BHARU - "Baba meninggal bukan sebab pengambilan vaksin." Itu penjelasan Mohammad Baihaqi, 28, selepas tularnya status yang mengaitkan kematian bapanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof pada Jumaat disebabkan oleh pengambilan vaksin Covid-19 dos kedua pada 9 April lalu.
Mohammad Baihaqi berkata, dia dan keluarga kesal dengan penularan berita yang disifatkan tidak tepat itu dan menjelaskan bapanya mempunyai sejarah penyakit yang banyak.
"Baba ada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi," katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, arwah pernah mendapatkan rawatan angiogram bagi penyakit jantung yang dihidapi sejak 2016.
Katanya, keluarga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan arwah meninggal disebabkan ambil vaksin.
Mohamad Baihaqi berkata, penafian itu dibuat susulan keluarga menerima beberapa kiriman WhatsApp dan pautan hantaran status di laman sosial yang mengaitkan kematian arwah dengan perkara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Melor meninggal dunia
Katanya, dakwaan itu tidak berasas berikutan bapanya memang mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.
"Selain itu baba turut mendapatkan rawatan insulin bagi penyakit kencing manis," katanya.
Jenazah Allahyarham Dr Yusnan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan disembahyangkan di Masjid Muhammadi Kota Bharu.
Jenazahnya kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh jam 2.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!