Langkah intervensi pemeriksaan datang bulan, lawak rogol
SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah intervensi yang lebih serius dan sistematik berhubung pemeriksaan datang bulan, serta pengawasan moral dan lawak rogol.
Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani oleh 95 NGO bersama dua individu itu berkata, KPM perlu menangani masalah tersebut menerusi penyiasatan yang adil dan komprehensif.
“Proses ini harus mengandungi dasar pemberi maklumat yang melindungi pemandiri atau individu lain yang memberikan maklumat lebih lanjut kepada KPM mengenai sekolah dan individu berkuasa yang telah melakukan pemeriksaan tersebut.
“Proses siasatan yang objektif terhadap dakwaan pelanggaran yang melibatkan pihak ketiga yang berkecuali seperti Suhakam, untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Hasil penyiasatan kemudiannya harus diserahkan kepada pihak berwajib, termasuk ibu bapa, NGO yang memperjuangkan hak kanak-kanak dan wanita, supaya dapat digunakan sebagai asas kolaborasi untuk membentuk dasar yang kukuh,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Tambah kenyataan tersebut, KPM harus mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk memastikan sekolah-sekolah di Malaysia wujud sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak dan bukan kawasan berbahaya.
“Penyelesaian jangka panjang harus merangkumi penambahbaikan dan penguatkuasaan tatalaku guru sedia ada, di kolej perguruan atau institusi pendidikan guru di seluruh negara.
“Kurikulum institusi perguruan yang diperbaharui untuk meliputi topik mengenai kepekaan jantina agar generasi guru dan pendidik akan datang tidak mengekalkan budaya toksik penderaan.
“Kursus kepekaan gender diwajibkan untuk guru dan pihak pengurusan sekolah di seluruh negara bagi memupuk kesedaran asas mengenai peranan jantina, kuasa, batas fizikal serta keizinan,” ujarnya.
Tanggungjawab ini harus dipandang serius oleh KPM bagi memenuhi matlamatnya dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua anak-anak Malaysia dan menyediakan suasana pembelajaran yang selamat dalam menggalakkan nilai saling menghormati serta tanpa kekerasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!