Ubah corak latihan untuk kekal prestasi ketika Ramadan

Pemain Kelantan United giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi perlawanan Liga Premier. -Foto Kelantan United Football Club
Pemain Kelantan United giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi perlawanan Liga Premier. -Foto Kelantan United Football Club
A
A
A

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) yang dilangsungkan ketika Ramadan semestinya memberikan cabaran kepada pemain khususnya mereka yang beragama Islam untuk mengekalkan kecerdasan dan prestasi permainan.

Bagi pemain pertahanan Kelantan United (KUFC), Hariz Kamaruddin, 23, yang menjadi tonggak penting pasukannya dalam Liga Premier mengakui pemain bukan sahaja perlu menitikberatkan aspek permakanan, malah pada masa sama harus menampilkan prestasi terbaik, setiap kali perlawanan dilangsungkan.

“Untuk itu, kami perlu mengubah jadual pemakanan dan waktu tidur bagi mengekalkan prestasi permainan masing-masing. Malah, jadual latihan juga terpaksa ditukar iaitu sama ada menjalani latihan pada sesi pagi atau malam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Musim ini, saingan Liga-M diteruskan ketika Ramadan dengan waktu sepak mula dianjakkan dari pukul 9.00 malam kepada 10.00 malam bagi memberi peluang kepada pemain dan jurulatih muslim berbuka puasa serta menunaikan solat fardu.

Beliau berkata setiap kali sesi latihan dilakukan, aspek kecergasan pemain diberikan keutamaan oleh barisan jurulatih bagi memastikan mereka mampu mempamerkan prestasi terbaik dalam perlawanan.

"Kami perlukan mata setiap perlawanan, bulan Ramadan bukan alasan kuat untuk kami tidak memperolehi sebarang mata pada setiap perlawanan dilalui," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!