Kerja 8 jam ketinggalan zaman

Kajian dalam American Journal of Industrial Medicine menunjukkan bekerja melebihi masa standard boleh menjejaskan kesihatan. (Gambar hiasan - Foto 123RF)
Kajian dalam American Journal of Industrial Medicine menunjukkan bekerja melebihi masa standard boleh menjejaskan kesihatan. (Gambar hiasan - Foto 123RF)
A
A
A

TINDAKAN tauke restoran di Petaling Jaya, Selangor yang sanggup memaksa pekerjanya bekerja sehingga 12 jam dengan gaji RM10 sehari amat mengejutkan. Seramai 22 pekerja asing itu turut dikurung, malah akan dihukum potong gaji jika mengambil makanan berlauk.

Perbuatan kejam majikan itu terbongkar Khamis lalu, dua hari sebelum penduduk dunia menyambut Hari Pekerja, hari ini.

Ironinya, Hari Pekerja yang diperingati setiap 1 Mei, bermula dengan gerakan besar-besaran golongan buruh di Amerika Syarikat pada 135 tahun lalu. Pada masa itu, mereka menuntut masa bekerja dikurangkan daripada 12 jam kepada lapan jam sehari tanpa pengurangan gaji.

Kini, secara umumnya waktu bekerja di seluruh dunia ialah lapan jam sehari, 40 jam atau lima hari seminggu.

Namun, lain padang, lain belalang. Hakikatnya, ramai orang yang bekerja lebih dari itu.

Bukan cuma kumpulan ‘ada kerja, ada gaji’ kerana bekerja sendiri, para bos besar juga banyak yang memilih bekerja dalam tempoh yang panjang.

Bekas bos Alibaba di China, Jack Ma bekerja 12 jam sehari, enam hari seminggu. Jadi, Jack Ma bekerja 72 jam seminggu.

Elon Musk, CEO SpaceX dan Tesla pula bekerja rata-rata 80 hingga 90 jam seminggu iaitu lebih sekali ganda berbanding waktu kerja pekerja biasa.

Artikel Berkaitan:

Mungkin itulah rahsianya Jack Ma menjadi orang ketiga terkaya di China dengan kekayaan bernilai AS$51 bilion (RM200 bilion) dan Elon Musk, manusia paling kaya di dunia dengan aset AS$197 bilion (RM800 bilion).

Bekerja dalam masa panjang mungkin menguntungkan secara ekonomi. Tetapi menurut pakar, ia tidak bagus untuk kesihatan fizikal dan mental.

Satu kajian dalam American Journal of Industrial Medicine menunjukkan bekerja melebihi masa standard boleh menjejaskan kesihatan.

Orang yang bekerja 61 hingga 70 jam seminggu meningkatkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak 42 peratus, manakala bekerja 71 hingga 80 jam meningkatkannya sehingga 63 peratus.

The Lancet pula mendedahkan orang yang bekerja lebih lama berisiko lebih tinggi untuk terkena strok, selain terganggu kesihatan mental.

Atas alasan itu, rakyat Norway hanya bekerja 33 jam seminggu. Mereka juga diberi cuti 21 hari setahun di samping majikan membenarkan pekerja yang mempunyai anak memohon lebih banyak cuti bagi meluangkan masa bersama keluarga.

Di Belanda pula, warganya hanya bekerja 29 jam seminggu atau enam jam sehari. Prinsip mereka, orang yang hidup gembira dan bahagia akan lebih produktif bila bekerja.

Namun, di Malaysia masih ada yang terpaksa bekerja lebih masa kerana gaji yang rendah.

Januari lalu, slip gaji pengawal keselamatan sebuah kilang di Pulau Pinang menjadi topik hangat netizen kerana gaji pokoknya cuma RM550 iaitu separuh daripada gaji minimum RM1,200 yang ditetapkan kerajaan.

Setelah dicampur elaun kerja lebih masa RM385 dan sedikit elaun lain, jumlah pendapatan kasarnya pada bulan November 2020 ialah RM1,125.

Jelaslah pengawal keselamatan tadi terpaksa bekerja keras, mungkin sehingga 12 jam sehari, enam hari seminggu.

Ramai pekerja melakukan kerja lebih masa bukannya kerana mereka suka sangat. Sebaliknya disebabkan gaji pokok hasil kerja lapan jam sehari itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.

Apabila kita memasuki era Revolusi Industri 4.0, robot, kecerdasan buatan dan mesin canggih menjadikan proses menyiapkan kerja lebih mudah.

Maka, pekerja tidak perlu lagi bekerja untuk masa yang panjang. Jadi, kerja lapan jam sehari sebenarnya sudah pun dianggap ketinggalan zaman. Tepuk dada, tanya selera!

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!