Harumanis terbang ke Sabah
SEPANG - Penggemar mangga harumanis di Sabah kini boleh mendapatkan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan anak syarikat AirAsia, AirAsia Farm.
Penghantaran pertama mangga harumanis ke Kota Kinabalu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 menerusi penerbangan AirAsia AK5104 yang berlepas jam 10.25 pagi pada Jumaat.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerjasama itu bukan sahaja akan memperluas pengedaran harumanis ke seluruh Malaysia, malah membawa buah yang cukup eksklusif itu ke Sabah secara rasmi buat pertama kalinya dalam skala besar.
Menurutnya, usaha itu sejajar dengan penekanan kementerian terhadap sektor pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat.
“Tahun ini Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran sebanyak 3,336 tan metrik mangga harumanis bernilai RM66.7 juta di Perlis.
“Daripada jumlah itu, dianggarkan 50 peratus akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti AirAsia Food, AirAsia Fresh dan Agrobazaar online,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan penghantaran harumanis bersama Pengerusi Eksekutif Airasia Group, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes.
Pelepasan harumanis ke Sabah adalah sebahagian daripada kempen ‘Harumanis Kembali Lagi’ yang dilancarkan pada 11 April lalu.
Mangga tersebut akan dihantar ke Tune Hotels Kota Kinabalu sebagai lokasi pengambilan rakan perkhidmatan penghantarnya di Sabah dan AirAsia Farm akan mengedarkan harumanis kepada peruncit utama di Kota Kinabalu.
Ronald berkata, MAFI berbesar hati dapat bekerjasama dengan AirAsia Farm untuk mempromosi kempen ‘Harumanis Kembali Lagi'.
“Industri harumanis bukan sahaja meningkatkan pendapa-tan 2,415 pengusaha harumanis di Perlis, malah mempunyai impak besar terhadap ekonomi dan industri agropelancongan serta rantaian bekalan di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar AirAsia Farm, Lalitha Sivanaser berkata, sinergi bersama MAFI memungkinkan penghantaran harumanis ke Sabah dalam masa kurang dari 72 jam setelah tuaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!