Dakwaan KPN terhadap Hamzah perlu disiasat secara terperinci

Mohamed Hanipa Maidin - Foto ROSLI TALIB
Mohamed Hanipa Maidin - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis wajar disiasat secara terperinci.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, bagi membolehkan sebuah siasatan yang adil, profesional, berintegriti dan bebas dapat dilakukan oleh pihak polis, adalah amat wajar Hamzah diminta untuk ‘direhatkan’ sehingga tamatnya proses penyiasatan tersebut.

“Sudah tentu tidak salah juga untuk meminta Abdul Hamid dan bakal penggantinya turut ‘direhatkan’ agar proses siasatan tersebut dapat dilakukan dengan telus dan lancar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Abdul Hamid mendakwa Hamzah menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis.

Abdul Hamid juga membayangkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari unsur politik.

Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa menambah, untuk berlaku adil kepada Hamzah, apa yang didedahkan oleh Abdul Hamid pada pendapatnya masih berstatus tuduhan atau dakwaan sahaja.

“Ya, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang atau ‘the rule of law’, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak terus melompat dan membuat kesimpulan bahawa beliau adalah dikira bersalah, sebenci dan semeluat mana pun seseorang itu ke atas menteri berkenaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri tidak sepatutnya jadi Pengerusi SPP - KPN

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!