Bekalan mercun Aidilfitri dirampas
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas pelbagai jenis mercun dipercayai untuk 'bekalan' Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM27,222 dalam dua serbuan berasingan pada Jumaat.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan pertama pada jam 5.57 petang di sebuah stesen minyak dekat Pasir Mas itu pihaknya berjaya merampas mercun bernilai RM8,622.
"PGA turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun untuk membantu siasatan berhubung rampasan mercun itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, selain itu PGA turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut.
Beliau berkata, semasa melakukan rondaan di sekitar Pasir Mas, pihaknya terserempak dengan kenderaan tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Azhari berkata, sejurus menahan kenderaan itu dan membuat pemeriksaan pihaknya telah menjumpai pelbagai jenis mercun.
Dia berkata, pada hari sama PGA merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM18,600 di Kampung Lanchang, di sini.
"Rampasan jam 6.30 petang itu dilakukan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang berada di dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut," katanya.
Azhari berkata, kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua mercun itu dibawa masuk menggunakan laluan tikus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!