Cubaan seludup minyak masak, diesel ke Thailand gagal

Anggota polis marin menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam Op Kontraban pada Jumaat di sekitar perairan Kuala Perlis.
Anggota polis marin menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam Op Kontraban pada Jumaat di sekitar perairan Kuala Perlis.
A
A
A

KUALA PERLIS - Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi berjaya menggagalkan usaha penyeludupan diesel dan minyak masak ke negara Thailand dalam dua operasi berasingan, di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, dalam serbuan pertama pada jam 9.30 pagi, pasukan operasi Op Kontraban menjumpai enam bungkusan plastik hitam diletakkan di tepi dinding di kawasan pelantar ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan terbabit mengandungi minyak masak seberat 60 kilogram.

"Pasukan operasi kemudian membuat pemerhatian di kawasan tersebut bagi mengesan pemilik minyak terbabit namun tiada individu yang tampil mengaku," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam operasi berasingan pada jam 11.30 pagi, pasukan operasi turut membuat pemeriksaan di kawasan Jeti Simen Taman Pelangi sebelum menjumpai 10 tong mengandungi diesel di hujung jeti.

"Bahan bakar itu dianggarkan seberat lebih kurang 250 liter dan dipercayai akan diseludup ke negara jiran bagi memenuhi kehendak pasaran di sana.

“Kita menganggarkan jumlah nilai rampasan bagi kesemua barang-barang kawalan ini bernilai RM 712 dan tiada tangkapan dibuat kerana tiada yang tampil menuntut kedua-dua barang terbabit," katanya

“Kesemua barang rampasan dibawa balik ke Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Perlis untuk pendokumentasian dan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!