JDT bukan 'Superman'
KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menyifatkan Harimau Selatan bimbingannya bukan ‘Superman’ setelah sekali lagi menamatkan perlawanan Liga Super tanpa kemenangan pada Jumaat.
Malah Mora mengakui seperti juga kelab lain, ada kala anak buahnya juga mengalami kemarau kemenangan dan pasukannya tidak terkecuali daripada mengalami situasi sama.
Pada perlawanan malam tadi, Harimau Selatan sekadar terikat 1-1 dengan tuan rumah Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Masih ada perlawanan untuk diharungi selepas ini, kami mungkin dapat mengekalkan kedudukan di tangga pertama dengan terus bekerja keras, bahkan lebih keras lagi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Terenganu FC (TFC) minggu lalu menjadi kelab pertama menjinakkan JDT di laman sendiri apabila menang 1-0 menerusi jaringan Mohamad Hakimi Abdullah pada babak kedua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah juara bertahan liga itu sejak Julai 2019.
Dalam pada itu, Mora mengakui kagum dengan prestasi serta corak permainan dipamerkan skuad The City Boys yang meletakkan JDT ketinggalan 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Romel Morales sebelum kapten JDT, Harris Harun menyamakan kedudukan pada minit ke-55.
Sementara itu, jurulatih KL City, Bojan Hodak menyifatkan keputusan seri adalah pencapaian yang baik ketika berdepan kelab terbaik liga, namun kecewa kerana anak buahnya yang gagal mencetak jaringan menerusi beberapa peluang sekali gus membolehkan mereka meraih kemenangan.
TFC yang kini menghuni tangga ketiga liga setelah mengumpul 21 mata dengan kelebihan satu perlawanan mungkin mampu mendaki ke persada liga bersama JDT (24 mata) jika meraih kemenangan menentang Penang FC malam ini.
Kedah Darul Aman (KDA) FC pula mengumpul 23 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang JDT selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Melaka United untuk menduduki tangga kedua liga. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!