Pekerja piket tidak puas hati KPI rendah
SEREMBAN - Beberapa pekerja di Syarikat Cenviro Sdn Bhd mengadakan demonstrasi aman di hadapan Pusat Kualiti Alam, Sendayan pada Jumaat susulan mendakwa diberikan kadar penilaian prestasi kerja (KPI) rendah.
Menurut wakil pekerja, Mohd Khairudin Mustafa,43, lebih 200 pekerja tidak berpuas hati dengan tindakan majikan yang menurunkan kadar penilaian prestasi tanpa memaklumkan kepada pekerja.
Katanya, majikan seolah-olah tidak telus dengan pemberian markah penilaian prestasi, kerana ia berubah pada saat akhir tanpa pengetahuan pekerja itu sendiri.
"Sepatutnya semasa sesi temu bual antara pekerja dan majikan, mereka perlu memaklumkan kepada kami hasil serta kadar prestasi penilaian yang dilakukan.
"Jika rendah mereka perlu memaklumkan kepada kami pada waktu itu, sekurang-kurangnya pekerja sudah bersedia, bukannya selepas keputusan dikeluarkan.
"Semasa sesi temu bual kami dimaklumkan memperoleh gred tinggi, tetapi apabila surat dikeluarkan markah yang diterima rendah, jadi ini menjejaskan bonus yang diterima dan kami rasa seperti teraniaya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan piket secara aman di hadapan Pusat Kualiti Alam, Sendayan pada petang Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Bahrin Mansor.
Tambahnya, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pengurusan Sisa Semenanjung Malaysia (Kesatuan), sebelum ini telah berbincang dengan pihak syarikat, agar memaklumkan terlebih dahulu kepada pekerja jika ada berlakunya pengurangan markah KPI, tetapi malangnya tidak dilakukan.
Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Perniagaan Cenviro, Wan Azrizul Azad Zainal Abidin ketika ditemui berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Kesatuan pada 19 dan 20 April lalu dan pertemuan serta perbincangan juga telah dilakukan bagi menyelesaikan perkara ini secara baik dan harmoni.
Katanya, segala ketidakpuasan yang dibangkitkan oleh pihak Kesatuan terhadap Cenviro adalah tidak wajar.
"Antara tuntutan yang dibuat adalah mengenai pembayaran bonus kepada empat pekerja yang mempunyai masalah disiplin dan prestasi kerja yang lemah serta penangguhan pemberian bonus kepada semua kakitangan.
"Seramai 128 pekerja Cenviro yang merupakan ahli Kesatuan, 97 peratus atau 124 pekerja daripada jumlah itu menerima bonus antara satu hingga tiga bulan gaji," katanya.
Dalam pada itu, Wan Azrizul memberitahu penilaian prestasi kakitangan yang dibuat dilakukan secara telus.
Katanya, penilaian yang dilakukan melibatkan beberapa peringkat, bukan hanya di peringkat pekerja, jadi sudah pasti akan terdapat perubahan markah, kerana prestasi kerja mereka akan dinilai oleh banyak pihak.
"Bagaimanapun pihak syarikat akan terus kekal profesional dalam berurusan dengan pihak Kesatuan dan memberi jaminan tiada berlaku gangguan perkhidmatan di Pusat Kualiti Alam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!