Covid-19: Selangor tumpu digitalisasi bagi kelangsungan ekonomi
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menumpukan beberapa langkah antaranya menekankan kepentingan digitalisasi bagi memastikan kelangsungan ekonomi dapat dilaksanakan dengan selamat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penekanan tersebut bertujuan membuka peluang pekerjaan baharu di negeri itu apatah lagi pekerja atau tenaga buruh merupakan kumpulan paling terkesan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, dalam keadaan negara berdepan gelombang keempat penularan wabak Covid-19, situasi berkenaan menimbulkan keresahan dalam kalangan seluruh masyarakat terutama golongan pekerja dalam menghadapi waktu yang sukar ini.
"Itulah yang mendorong kerajaan Selangor memperuntukkan RM369 juta dalam Belanjawan 2021 dengan pelbagai inisiatif yang dapat melahirkan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan baharu khususnya bagi pekerja yang paling terkesan akibat pandemik.
"Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Rakan Digital Selangor, Selangor Freelancers, Selangor Kerjaya dan Selangor Automotif TVET, " katanya menerusi perutusan Hari Pekerja yang disambut pada Sabtu.
Katanya, ketika negara merangka ekonomi bermaruah bagi pasca Covid-19, tiba masanya hak pekerja dipertingkatkan khususnya hak digital.
Jelasnya, Covid-19 merupakan bermulanya fasa bekerja dari rumah dan pekerja terpaksa berbelanja lebih untuk kos internet dan elektrik yang sebelum ini kemudahan berkenaan di tampung majikan di pejabat.
"Dorongan untuk bekerja dari rumah yang diungkapkan oleh kerajaan hanya akan benar-benar dirasai dan menjadi realiti sekiranya pekerja mempunyai akses untuk menjalankan tanggungjawab kerja secara isolasi.
"Aspek seperti jaringan internet yang pantas serta bandwidth yang luas, akses kepada komputer riba serta suasana bekerja yang selesa di rumah harus diambil kira.
"Perkara yang wajar dilihat ialah peningkatan gaji bagi pekerja kerana akses digital perlu menjadi hak digital pekerja dalam kerangka ekonomi pasca pandemik Covid-19," katanya.
Sejarah sambutan Hari Pekerja diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat, Grover Cleveland bermula tahun 1889 untuk mengingati peristiwa Rusuhan Haymaker pada 1886.
Tarikh 1 Mei dipilih sebagai Hari Pekerja untuk mengiktiraf sumbangan pekerja kepada ekonomi negara pada waktu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!