Kerajaan laksana pelbagai inisiatif tingkat harga minyak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan harga minyak sawit naik secara berperingkat dan mencecah ke paras RM2,400 setan metrik.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata antara lainnya kerajaan kini giat meneroka dan mengukuhkan pasaran baharu seperti di Iran, Turki dan Pakistan berikutan penggunaan yang tinggi di negara-negara tersebut.

“Dengan penerokaan itu, kita berharap akan dapat mewujudkan permintaan yang lebih tinggi kerana Malaysia hanya memiliki sebanyak 30 peratus bahagian pasaran di negara-negara itu. Sekiranya kita mampu meningkatkan peratusan itu, ia akan dapat memperluaskan penggunaan minyak sawit.

"Namun, kita perlu ingat untuk memastikan harga terus meningkat, permintaan dan tawaran untuk minyak ini perlu seiring. Kalau tawaran banyak tetapi permintaan kurang, ia menyebabkan harga komoditi ini menurun,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), di sini, hari ini.

Selain itu, Shamsul Iskandar berkata kerajaan juga akan berusaha untuk memastikan peningkatan permintaan dari China, India dan negara Timur Tengah bagi membantu mengurangkan bekalan minyak sawit sekali gus mengekalkan harga komoditi tersebut.

“Tindakan Kesatuan Eropah yang memboikot minyak sawit negara tidak akan memberi kesan yang besar dalam usaha kita untuk meningkatkan harga minyak sawit, namun kita berharap kita tidak akan kehilangan mereka (Kesatuan Eropah) sebagai pengimport kedua terbesar minyak sawit negara,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!