Dua warga Bangladesh diberkas bunuh rakan senegara
BANTING - Dua lelaki warga Bangladesh yang melarikan diri dan bersembunyi selepas terlibat dalam kejadian bunuh rakan senegaranya di kawasan rumah kongsi di Bandar Perindustrian Mahkota Banting di sini pada Jumaat akhirnya diberkas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian tersebut selepas menerima panggilan pada jam 9.14 malam.
Menurutnya, siasatan mendapati pada 28 April, pihak pengurusan kilang telah membuat ujian saringan Covid-19 terhadap semua pekerja asing yang tinggal di kawasan terbabit.
"Daripada jumlah itu, 30 daripadanya positif Covid-19 dan telah diasingkan (kuarantin) di satu tempat berhampiran dari rumah kongsi berkenaan.
"Bagaimanapun telah berlaku pergaduhan dan pertengkaran membabitkan lima lelaki warga Bangladesh yang positif Covid-19 hingga seorang mangsa maut, manakala dua rakannya cedera selepas ditikam menggunakan sebatang pemutar skru," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa berusia 44 tahun maut di lokasi kejadian akibat tikaman yang dipercayai mengenai jantungnya.
Tambah Azizan, pihaknya mendapati punca kejadian ekoran suspek yang mengeluarkan barangan kepunyaan mangsa (si mati) dari rumah kongsi tanpa kebenarannya.
"Selepas insiden pergaduhan terbabit, dua suspek itu kemudian telah melarikan diri.
"Dua suspek itu bagaimanapun berjaya diberkas polis kira-kira jam 3.30 pagi pada Sabtu selepas didapati bersembunyi di Taman Manggis Jaya, Banting," katanya.
Katanya, soal siasat dua suspek berusia lingkungan 40-an itu mengaku terlibat dalam kes terbabit.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!