Penganjur bazar dikompaun RM20,000
KEPALA BATAS - Penganjur bazar Aidilfitri di Midtown Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini dikompaun sebanyak RM20,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika pemeriksaan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan itu dikenakan selepas polis mendapati penganjur bazar tersebut gagal memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal.
Menurutnya, kompaun itu dikenakan kerana amaran telah diberikan kepada penganjur dalam pemeriksaan sebelum ini.
"Kita telah mengeluarkan kompaun kepada penganjur bazar kerana mendapati masih gagal mematuhi SOP walaupun telah diberi amaran sebelum ini. Pemeriksaan mendapati, laluan yang sempit di bazar tersebut menyukarkan penjarakan fizikal dalam kalangan pengunjung.
"Selain itu, ada pemilik gerai yang tidak mengehadkan pengunjung masuk ke gerai mereka dalam satu-satu masa. Bagaimanapun, kompaun hanya dikenakan kepada penganjur sahaja, tiada pelanggan dikompaun kerana mereka mematuhi SOP," katanya ketika mengadakan operasi bersepadu pemantauan pematuhan SOP bazar Aidilfitri, di sini pada malam Sabtu.
Tambahnya, bazar itu sepatutnya hanya boleh dimasuki kira-kira 400 pengunjung dalam satu masa namun pemeriksaan mendapati ia melebihi jumlah ditetapkan.
"Walaupun terdapat tiga jalan keluar dan masuk namun masih berlaku pertembungan antara pengunjung sehingga menyukarkan kawalan penjarakan fizikal dilakukan selain laluan yang sempit di dalam bazar itu.
"Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan notis kepada penganjur untuk mengambil langkah penambahbaikkan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dalam bazar itu dengan segera. Jika masih gagal, kita tidak teragak-agak mengarahkan bazar ini ditutup," katanya.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran Karnival Mahabbah di Bertam selepas penganjurnya menambah baik pelaksanaan SOP di karnival tersebut.
"Pemeriksaan mendapati, pihak penganjur telah mematuhi semua teguran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MBSP yang dibuat sebelum ini antaranya menyediakan laluan keluar masuk seperti yang diarahkan pada minggu lalu.
"Penganjur juga mematuhi SOP penjarakan fizikal dengan hanya membenarkan 450 pengunjung dalam satu masa selain menyediakan tag dan laluan khas untuk setiap hala bagi memastikan pengunjung tidak bertembung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!