Abdul Hamid perlu buat laporan: Takiyuddin

Takiyuddin Hassan, Abdul Hamid Bador
Takiyuddin Hassan, Abdul Hamid Bador
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu mengemukakan laporan sekiranya dakwaan berkait dengan campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan itu penting bagi membolehkan proses siasatan berjalan mengikut undang-undang sedia ada.

"Jika dakwaan itu betul, pertama dia perlu ikut saluran dengan membuat laporan, daripada laporan itu orang akan ambil tindakan... biarlah proses undang-undang tersebut ambil jalannya yang tersendiri," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas pendedahan yang dibuat oleh Abdul Hamid di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada perkhidmatan awam, ketua-ketua diingatkan supaya lebih hati-hati apabila bercakap soal undang-undang.

Beliau berkata, bukan itu sahaja penjawat awam juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tafsiran peruntukan perlembagaan mengikut emosi dan perasaan tidak puas hati.

"Sebagai contoh, Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 140 jelas mengatakan untuk polis, dia ada satu Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan mengendalikan urusan kenaikan pangkat, tatatertib, kebajikan dan lain terhadap seluruh anggota badan berkenaan.

"Dalam perlembagaan persekutuan jelas mengatakan SPP mesti dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab dalam polis dan dalam konteks ini Menteri Dalam Negeri, jadi jangan ada mana-mana pihak yang mempersoalkan perkara itu.

"Ini peruntukkan perlembagaan, jelas mengatakan SPP mesti dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, kalau kata dia (menteri) tidak layak, kena pinda perlembagaan dululah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, jika wujud isu atau masalah dalam pentadbiran bagi satu-satu jabatan pegawai tidak boleh mendedahkan perkara itu secara terbuka kepada media.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya didedahkan dalam mesyuarat sahaja kerana tiadakan itu bercanggah dengan peraturan.

Menurutnya, dari segi undang-undang tindakan itu disifatkan sebagai 'tindakan membelakangkan atau mencela' pihak kerajaan atau pembuat polisi.

"Penjawat awam boleh memberikan pandangan tetapi mestilah mengikut peraturan dan saluran yang betul," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!