Tubuh RCI siasat dakwaan KPN: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menterinya.

Desakan itu disuarakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa yang melihat pendedahan dibuat oleh Abdul Hamid baru-baru ini adalah sangat serius.

“Kenyataan Hamid Bador seolah satu kenyataan hilang kepercayaan terhadap kerajaan Perikatan Nasional(PN) hari ini dan ia bukan kenyataan politik dari mana-mana pimpinan parti tetapi dari Ketua Polis Negara sendiri dilakukan dalam sidang akhbarnya yang terakhir.

“Ini adalah isyarat kepada bagaimana rasuah politik menjadi kanser yang sukar dibendung.

“Oleh kerana itu, satu siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kepada kenyataan Abdul Hamid perlu dibuat atas dakwaan serius ini yang telah merosakkan imej demokrasi dan integriti kerajaan dengan membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mencipta ketidakstabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, jika Menteri Dalam Negeri mempunyai maruah dengan tuduhan berat tersebut, beliau perlu membersihkan semua tuduhan itu bagi memelihara integriti pasukan polis dan kementeriannya yang dituduh pencetus kepada lahirnya 'katak-katak yang melompat'.

“Jika Ketua Polis Negara secara berani menyebut kepincangan besar dilakukan Menteri yang menjaga keselamatan awam, ini tandanya kerajaan PN gagal di mana Perdana Menteri harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan pendedahan ini.

“Ketua Polis Negara baru tidak mungkin mewarisi kepimpinan tanpa isu besar seperti integriti dan rasuah ini diselesaikan terlebih dahulu demi memelihara maruah dan demokrasi negara,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat lalu, Abdul Hamid dalam satu sidang media mendakwa terdapat campur-tangan politik menguasai pelantikan dalam hiraki pasukan polis.

Selain itu juga beliau turut mengesahkan berlakunya tawar-menawar untuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta sekaligus membuktikan terdapat rasuah politik.

ARTIKEL BERKAITAN 'Audio itu bukan mirip, saya mengaku itu saya' - Hamzah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!