'Jangan paksa Van Dijk'
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memberikan amaran kepada pasukan kebangsaan Belanda supaya tidak terburu-buru untuk menggunakan Virgil van Dijk pada saingan Euro 2020 yang akan berlangsung pada 11 Jun depan.
Menurutnya, van Dijk masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialaminya sejak Oktober tahun lalu selain masih belum memulakan latihan penuh yang akan memberikan risiko besar sekiranya terus bermain pada saingan aksi Euro tersebut.
"Saya rasa Belanda sudah lama berada dalam arena bola sepak ini dan tahu sekiranya seseorang pemain itu boleh bermain atau tidak. Seseorang pemain perlu latihan yang betul beberapa minggu sebelum perlawanan, bukan seminggu sebelum perlawanan.
"Anda tidak boleh selepas 11 bulan tidak berlatih dan tiba-tiba terus mahu beraksi dalam perlawanan kompetitif. Ia sangat mustahil untuk berlaku," katanya.
Bagaimanapun, Klopp tidak mahu menghalang sekiranya van Dijk tetap mahu beraksi beraksi bersama skuad kendalian Frank de Boer itu tetapi mengingatkan pasukan Belanda supaya tidak berterusan untuk memaksa pemain pertahanannya itu.
"Saya tahu situasi dan keadaannya. Dia memerlukan beberapa minggu untuk kembali bersedia dan beraksi. Kecederaan yang dialaminya itu sangat teruk. Saya tidak mahu menghalang tetapi anda (Belanda) juga tidak boleh memaksa.
"Kita sedang bercakap tentang pemain dan kariernya. Dia sedang cuba kembali daripada kecederaannya itu secepat yang mungkin. Tetapi, tiada siapa yang tahu bila dia akan pulih sepenuhnya.
"Anda boleh bayangkan jangka masa yang amat padat dengan kejohanan Euro yang akan berlangsung kerana dia masih belum berlatih dengan pasukan dan tidak akan berada dalam pasukan minggu depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!