Pakat tengok orang ‘gocoh’ malam esok
BESUT - Peminat muay thai di daerah ini termasuk dari Kelantan berpeluang menyaksikan jaguh muay thai antarabangsa bertarung pada Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Kuda Merah 2019 di Padang Astaka Jertih, di sini malam esok.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, dua peninju muay thai dari Thailand, Hassan Payed dan Muan Mamboa akan beraksi dalam gelanggang tersebut.
Menurutnya, Hassan Payed akan bertemu dengan peninju tempatan yang turut mencipta banyak kejuaraan iaitu Hazim Basir dari Kampung Kayu Kelat, di sini.
“Muan Mamboa pula dicabar anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Amirul pada perlawanan regu keenam,” katanya tentang kejohanan yang akan berlangsung bermula jam 8.45 malam.
Mohd Zamri berkata lagi, seorang peninju dari Filipina, Fritz Biagtan pula akan beradu dengan seorang lagi anak tempatan yang juga jaguh tinju yang pernah menempah kejuaraan di peringkat antarabangsa, Mohd Iffat Kayu Kelat.
Menurutnya, seorang lagi anggota polis yang pernah menyertai sebanyak 450 kejohanan muay thai setakat ini, Mat Ropi dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur turut beraksi.
“Mat Ropi akan bertemu dengan Worachat dalam perlawanan regu ketujuh,” katanya.
Mohd Zamri berkata, bagi peminat muay thai ia adalah peluang keemasan untuk mereka melihat aksi jaguh muay thai antarabangsa dan tempatan yang tersohor beraksi di depan mata.
Menurutnya, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan hebat dan mendebarkan membabitkan 16 peninju muay thai tersohor dalam dan luar negara.
“Kejohanan ini anjuran Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dengan kerjasama Kelab Muay Thai Kuda Merah sementara Sinar Harian adalah media rasmi.
“Matlamat kejohanan ini adalah untuk mengumpul dana Kelab Polis IPD Besut bagi melaksana pelbagai program kebajikan untuk pegawai dan anggota serta program kemasyarakatan selain merapatkan hubungan dengan komuniti, katanya.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dijangka hadir pada kejohanan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!