Sentuhan Kasih Ramadan rai anggota polis, bomba
PUCHONG - Sempena Ramadan dan ketibaan Syawal tidak lama lagi, Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia (Al-Qalam) meraikan petugas barisan hadapan dengan menghulurkan sumbangan menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan.
Presiden Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu berkata, program itu tahun ini memfokuskan sumbangan kepada anggota polis dan bomba di sekitar kawasan Subang Jaya.
"Kita tampilkan sedikit kelainan menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan kali ini iaitu memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota polis dan bomba selain golongan asnaf dan fakir miskin.
"Pemberian sumbangan ini kita sampaikan kepada 30 anggota polis dan 20 anggota bomba. Pemilihan anggota polis dan bomba untuk menerima sumbangan adalah berdasarkan mereka yang mempunyai anak serta tanggungan yang ramai. Selain itu, seramai 27 orang penduduk sekitar turut menerima sumbangan ini," katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Ramadan anjuran Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam Malaysia bertempat di Rumah Sentuhan Kasih Al-Qalam di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman.
Katanya, dengan pemberian sumbangan tersebut setidak-tidaknya ia memberi sinar dan semangat kepada anggota polis dan bomba yang bertugas.
"Dalam keadaan negara berhadapan pandemik Covid-19 ketika ini, kita meraikan petugas barisan hadapan agar mereka sentiasa bersemangat serta tabah menjalankan tugas.
"Jadi, kita sebagai masyarakat perlu sentiasa memainkan peranan penting dan bersama-sama melengkungkan pandemik Covid-19 ini dan mematuhi arahan pihak berkuasa, pada masa sama sentiasa memberi semangat kepada semua petugas barisan hadapan," katanya lagi.
Majlis tersebut bermula dengan penyampaian sumbangan kepada anggota polis dan bomba diikuti golongan kurang berkemampuan.
Selain program pemberian sumbangan, program yang mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu turut diisi dengan pemberian bubur lambuk kepada penduduk sekitar selain pemberian minyak motosikal secara percuma di stesen minyak berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!