MB bangkit isu kerugian peniaga bazar pada Mesyuarat Khas MKN
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan membangkitkan situasi peniaga yang menanggung kerugian akibat penutupan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin.
Menurutnya, keputusan berkaitan bazar di Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diputuskan pada mesyuarat dalam talian itu yang bermula jam 2.30 petang dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya akan membangkitkan situasi peniaga-peniaga bazar yang tidak dapat menanggung beban yang terlalu besar akibat penutupan perniagaan di bazar Aidilfitri dan bazar Ramadan.
"Saya juga berharap agar bazar dalam kawasan PKP diberi kelonggaran untuk beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan. Semoga ada khabar melegakan esok bagi lima daerah yang kena PKP," katanya di Facebook rasminya pada Ahad.
Pada Sabtu, tinjauan Sinar Harian di bazar Ramadan Stadium Darul Aman mendapati peniaga-peniaga buntu memikirkan nasib mereka setelah tidak dibenarkan beroperasi susulan pelaksanaan PKP daerah Kota Setar yang berkuatkuasa mulai Sabtu.
Seorang peniaga air, Muhammad Asfar Mohd Ishak, 28, berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 bagi memulakan operasi di bazar berkenaan pada tahun ini.
Pada Jumaat, media melaporkan lima daerah di Kedah dikenakan PKP iaitu Kota Setar Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula 1 Mei hingga 14 Mei susulan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: PKP: Peniaga bazar buntu, tiada perancangan lain
SOP PKP lima daerah dijangka lebih longgar berbanding PKP 1.0
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!