Jenazah Siti Masitah dituntut keluarga
KUANTAN - Jenazah kanak-kanak, Siti Masitah Ibrahim, 11, yang dibunuh kenalan keluarganya dalam kejadian 30 Januari lalu, dituntut keluarganya, petang ini.
Ibunya, Solihah Abdullah, 35, tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira jam 5 petang.
Ketika ditemui media, Solihah meluahkan rasa syukur kerana dapat menuntut jenazah anaknya untuk dikebumikan.
Menurutnya, jenazah Siti Masitah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan.
"Alhamdulillah, kami sudah lama menunggu dan hari ini jenazah dapat dituntut,” katanya.
Mayat Siti Masitah ditemui di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan 9 Februari lalu dalam keadaan menyayat hati apabila beberapa anggota badan termasuk kepalanya terpisah daripada tubuh.
Siti Masitah dilaporkan hilang kira-kira pukul 6.30 petang, 30 Januari lalu sebelum kehilangannya dilaporkankan kepada polis jam 11 malam hari yang sama.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Masitah diperdaya suspek, dedah penduduk kampung
Budak dibunuh kejam, organ dalaman hilang
Bunuh budak: Seorang lelaki warga asing ditahan
Siti Masitah dibunuh kerana dendam
'Pernah melutut, merayu agar suspek pulangkan Siti Masitah'
Mayat tersebut dikenal pasti sebagai Siti Masitah berdasarkan pengecaman baju yang dipakai sebelum disahkan pihak polis.
Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan seorang lelaki rakyat Kemboja berusia 23 tahun yang juga kenalan keluarganya bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan semalam berkata, reman ke atas suspek dilanjutkan sehingga 24 Februari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!