Seorang maut, tiga parah nahas babit empat kenderaan
IPOH - Seorang lelaki maut manakala tiga cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 263.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berdekatan Terowong Menora pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru, Shahrudi Muhamad Halil berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.56 petang mengenai kejadian itu yang membabitkan tiga kereta serta sebuah motosikal dan mengakibatkan KNagantheran, berusia 40-an, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, insiden itu turut menyaksikan dua lelaki dan seorang wanita berusia 40-an cedera parah, seorang cedera ringan manakala enam lagi tidak mengalami kecederaan.
"Bomba yang tiba di tempat kejadian berjaya mengeluarkan mangsa seorang lelaki yang tersepit di dalam salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan itu menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang lain telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kami tiba," menurutnya dalam kenyataan di sini.
Shahrudi berkata, operasi menyelamat tamat pada 5 petang dan mangsa yang maut serta cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses seterusnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!