Gadis derita lumpuh akibat dihempap konkrit
SUNGAI PETANI - Kemalangan dihempap dinding konkrit hingga menyebabkannya lumpuh menjadi igauan ngeri seumur hidup bagi seorang gadis berusia 17 tahun yang tinggal bersama ibunya di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal.
Selain terlantar, Aziana Shaari yang turut menghadapi masalah pendengaran kini perlu menerima hakikat apabila paru-paru, buah pinggang serta pundi kencingnya mengalami kerosakan.
Mengimbas kejadian tersebut ibunya, Fatimah Hashim, 49, berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi, lapan tahun lalu itu berlaku ketika Aziana berumur 9 tahun ingin mengambil buah mangga berdekatan lokasi kejadian sebelum tiba-tiba dinding konkrit dari sebuah rumah yang sedang dibaik pulih runtuh dan menimpa anaknya.
"Sejak hari itu, dia terlantar akibat lumpuh dari pinggang ke bawah. Dia memerlukan bantuan sepanjang masa untuk mengurus diri kerana kakinya tidak mampu lagi bergerak," katanya kepada Sinar Harian.
Kata ibu tunggal itu, dia terpaksa bekerja di dua kedai makan berbeza pada waktu siang dan malam dengan pendapatan antara RM50 dan RM75 sehari bagi menampung perbelanjaan keperluan untuk Aziana yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menyediakan lampin pakai buang, susu khas serta peralatan mencuci luka.
Katanya, dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan bagi membantu mereka.
"Aziana hanya boleh makan nasi sekali sehari selain dia kurangkan minum kerana bimbang kesannya setelah disahkan menghidap masalah buah pinggang," katanya.
Menurut Fatimah, sebagai ibu dia bangga kerana dalam situasi menahan kesakitan dan pergerakan terhad, Aziana masih mampu menunaikan puasa Ramadan kali ini.
Sementara itu, penderitaan Aziana mendapat perhatian pasar raya Econsave yang menghulurkan sumbangan bernilai RM1,000 antaranya termasuk makanan kering, barangan dapur, peralatan elektrik serta susu khas yang diperlukan gadis itu.
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan disampaikan melalui Dana Econsave Prihatin sempena Ramadan termasuk keperluan Fatimah dan Aziana seperti kipas angin, seterika dan pengisar.
"Kami berharap dengan pemberian ini dapat meringankan beban ditanggung sekali gus menceriakan mereka sempena Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02300-29000-588-382 (Fatimah).
Dalam pada itu, anak Fatimah yang lain iaitu Aziani, 18, yang sedang mengikuti pembelajaran di Kolej Vokasional Sungai Petani dan Azima, 19, yang baharu memulakan kerja di sebuah pasar raya berdekatan tinggal bersamanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!