Arab Saudi buka sempadan darat, laut, udara mulai 17 Mei
RIYADH - Arab Saudi akan membuka semula sempadan darat, laut dan udara negara itu mulai 17 Mei ini, sekali gus membenarkan warganya melakukan perjalanan ke luar negara, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kebenaran itu diberikan kepada warganya yang telah menerima dua dos vaksin atau satu dos vaksin sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memulakan perjalanan, mereka yang telah pulih daripada jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam bulan lepas dan mereka yang berumur di bawah 18 tahun, kata kementerian itu.
Warganegara Arab Saudi dilarang melakukan perjalanan ke luar negara sejak Mac 2020 apabila kerajaan menggantung semua perjalanan masuk dan keluar dari negara itu ketika pandemik Covid-19 mula merebak ke seluruh dunia.
Sempadan negara itu dibuka semula pada Julai 2020, tetapi warganya masih tidak dibenarkan melakukan perjalanan.
Pada Januari lepas, pihak berkuasa menunda tarikh pembukaan semula sempadan sebelum membuka semula pintu masuk pada 17 Mei ini.
Pada Februari, Arab Saudi menggantung kemasukan bukan warganegara dari 20 negara kecuali diplomat dan pengamal perubatan. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!