JAIM perketat SOP pengimarahan masjid, surau
MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau bagi mengekang kes penularan Covid-19 yang semakin meningkat.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, perubahan garis panduan pengimarahan itu berkuat kuasa pada Selasa, termasuk qiamullail yang hanya dibenarkan dilaksanakan di masjid sahaja.
Menurutnya, sebarang bentuk jamuan seperti berbuka puasa, moreh dan majlis sahur tidak lagi dibenarkan diadakan di surau, namun dibenarkan di masjid dengan penyediaan makanan secara berbungkus atau pek individu dan tidak dibenarkan secara bufet.
Katanya, majlis tadarus al-Quran di masjid dan surau juga tidak dibenarkan dan boleh dilaksanakan di rumah masing-masing manakala sebarang majlis khatam al-Quran di masjid ditangguhkan.
Semua aktiviti harian masjid dan surau hendak berakhir selepas solat witir, dan dalam apa jua keadaan masjid dan surau mahupun madrasah hendaklah ditutup sepenuhnya jam 10.30 malam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.
Tambah beliau, tazkirah semasa, tazkirah selepas tarawih dan tazkirah witir serta jemputan penceramah luar Melaka dan aktiviti jemaah tabligh yang melibatkan kehadiran individu luar Melaka juga tidak dibenarkan.
"Selain itu, aktiviti memasak di masjid dan surau tidak lagi dibenarkan bagaimanapun solat Jumaat, solat fardu, solat tarawih dan kuliah subuh masih dibenarkan.
"Jawatan kuasa masjid dan surau dipohon mematuhi ketetapan ini dan kebenaran aktiviti boleh ditarik balik sekiranya pentadbiran kedua-duanya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!