Malaysia mahu kerjasama dengan UAE dipertingkat: Azmin

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencadangkan lebih banyak kerjasama dengan Pavilion Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ekspo Dubai 2020 yang dijadualkan semula mulai 1 Oktober 2021 sehingga 31 Mac 2022.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama itu boleh membabitkan bidang seperti padanan perniagaan, program sosial, seminar dan pertukaran jemputan selaku penceramah atau audiens.

“Bidang kerjasama yang dipertingkatkan ini bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Mohamed Azmin melawat Pavilion Malaysia di ekspo itu sebagai sebahagian daripada inisiatif Misi Perdagangan dan Pelaburan ke UAE yang diterajuinya pada ketika ini.

Lawatan itu bertujuan mendapatkan perkembangan terkini mengenai pavilion itu yang dijangka menarik penyertaan 300 syarikat Malaysia, 5,000 delegasi bagi program perdagangan dan perniagaan Malaysia, dan sejuta pengunjung di sepanjang ekspo itu.

Menurut menteri berkenaan, adalah penting untuk Malaysia meletakkan saranan nilai yang berupaya meningkatkan kelebihannya dalam sains dan teknologi masa depan, persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif, serta pelbagai peluang dalam sektor ekonomi baharu dan baharu muncul seperti teknologi kewangan, Industri 4.0, taman perindustrian eko dan tenaga boleh diperbaharui.

“Penyertaan Malaysia dalam Ekspo Dunia ini akan dapat menonjolkan bidang baharu muncul ini kepada rakan bernilai tinggi dari seluruh dunia dan inilah masanya, dalam konteks ekonomi semasa yang mencabar,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, ekspo itu akan memainkan peranan utama dalam menonjolkan kekuatan Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan untuk perniagaan di rantau Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan (MENASA) dan di luarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata ekspo itu yang akan disertai 192 negara dan organisasi antarabangsa menyasarkan untuk menarik 25 juta pengunjung dalam pameran antarabangsa yang berlangsung selama enam bulan itu.

“Dengan mengambil kira skala ekspo yang dinanti-nantikan ini, syarikat Malaysia boleh memanfaatkan sepenuhnya platform ini untuk mempercepatkan pemulihan perniagaan mereka akibat impak pandemik Covid-19,” katanya.

Sebelum lawatannya ke Ekspo Dubai 2020, Mohamed Azmin bertemu Menteri Kerjasama Antarabangsa UAE, Reem Ebrahim Al Hashimy.

“Saya memberitahu Reem Ebrahim bahawa penting sekali untuk UAE menganjurkan acara itu meskipun berdepan kesukaran disebabkan pandemik.

“Ekspo ini tentunya akan menjadi platform penting untuk peluang perniagaan dalam mengharungi kelembapan ekonomi global akibat pandemik Covid-19,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!