Angkara rokok, dendam lama, warga emas cedera dilibas parang
BEAUFORT - Seorang lelaki warga emas cedera di bahagian muka selepas terkena parang dalam kejadian di Kampung Lumantak, Membakut pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mangsa berusia 67 tahun itu cedera selepas seorang lelaki berang terhadapnya kerana permintaan untuk membeli rokok tidak dilayan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 25 tahun itu pada awalnya dikatakan pergi ke rumah mangsa untuk membeli rokok.
"Bagaimanapun, mangsa didakwa tidak melayan suspek sehingga menyebabkannya berang sebelum kembali dengan membawa sebilah parang.
"Suspek kemudian bertindak memecahkan pintu rumah mangsa dengan menggunakan parang namun parang yang digunakan itu dikatakan tiba-tiba tercabut dan terus terkena ke bahagian muka mangsa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mengulas lanjut, Yussof Zaki berkata, suspek yang melihat mangsa cedera terus bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.
"Suspek berjaya ditahan kira-kira sejam kemudian oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
"Siasatan lanjut mendapati punca kejadian sebenarnya adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjadi punca rumah ibu bapanya terbakar tahun lalu," katanya.
Susulan kejadian itu, Yussof Zaki berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!