Isu mohon bantuan gereja: LZS sahkan ibu tunggal asnaf berdaftar

Saipolyazan
Saipolyazan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan salah seorang daripada tiga ibu tunggal yang meminta bantuan wang dari gereja merupakan asnaf miskin berdaftar yang menerima bantuan zakat sebanyak RM23,450 sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, ibu tunggal kedua pula bukan ibu tunggal sebaliknya mempunyai suami yang tidak menetap di Malaysia, pernah menerima bantuan Baitulmal MAIWP dari tahun 2012 hingga 2017, namun tiada permohonan lain dibuat selepas itu.

"Ibu tunggal ketiga juga bukan ibu tunggal kerana masih bersuami, baru menghantar permohonan pendaftaran asnaf fakir dan miskin, namun dokumen yang dilampirkan tidak lengkap kerana tidak menyertakan dokumen perceraian.

“Tiada kesahihan berkenaan bantuan yang diterima dari pihak gereja seperti yang didakwa sebelum ini untuk ibu tunggal kedua dan ketiga,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.

Saipolyazan berkata demikian setelah pihaknya menghubungi nazir masjid yang merupakan penolong amil kariah di sekitar Ampang untuk mendapatkan kesahihan dakwaan isu tular ibu tunggal meminta bantuan dari gereja pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti ketiga-tiga ibu tunggal yang dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berkenaan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, pihaknya tidak akan mengambil tindakan kepada badan yang mengeluarkan dakwaan tersebut secara undang-undang, mahupun secara konfrontasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan tiga ibu tunggal mohon bantuan gereja akan disiasat

Artikel Berkaitan:

Namun begitu katanya, pihaknya memandang serius dakwaan terbabit kerana LZS sentiasa memastikan golongan asnaf di Selangor disantuni sebaik mungkin dengan bantuan 2,000 penolong amil kariah di negeri tersebut.

“Kebersamaan semua pihak amat diharapkan dan dihargai lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19.

“Kongsilah maklumat yang benar agar cerita tersebut memberi manfaat kepada institusi yang menjalankan amanah pengurusan zakat bukan yang menghilangkan keyakinan pengeluar zakat,” katanya.

Pada Khamis, tiga ibu tunggal di Ampang mendakwa mereka tidak menerima bantuan sewajarnya dari institusi zakat atau agensi berkaitan walaupun sudah berkali-kali membuat permohonan.

Menurut laporan portal Malaysia Gazette pada Khamis, wanita-wanita terbabit turut mendakwa mereka terpaksa memohon bantuan dari pihak gereja akibat dihimpit kesukaran hidup selepas bergelar ibu tunggal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!