Polis panggil penganjur majlis tahnik anak Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza (kanan) bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama antara tetamu yang hadir pada majlis tahnik anaknya baru- baru ini.
Siti Nurhaliza (kanan) bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersama antara tetamu yang hadir pada majlis tahnik anaknya baru- baru ini.
A
A
A

AMPANG - Polis akan memanggil penganjur majlis tahnik anak penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya sudah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan satu artikel sebuah portal berita pada Isnin berkaitan ketidakpuasan hati netizen dalam satu majlis yang diadakan oleh seorang selebriti tanah air di kediamannya di Bukit Antarabangsa Ampang, Selangor.

"Terdapat juga beberapa gambar di dalam artikel tersebut menunjukkan kehadiran beberapa individu kenamaan dan penceramah agama terkenal ke majlis berkenaan.

"Selain itu, IPD Ampang Jaya menerima satu laporan polis berkaitan isu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam sebarang aktiviti yang dijalankan.

"Polis juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih lagi dalam peringkat siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memohon maaf sekiranya penganjuran majlis tahnik anak lelaki mereka, Muhammad Afwa pada 26 April lalu telah menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat.

Siti Nurhaliza dan Khalid juga memaklumkan atur cara dan bilangan tetamu yang diundang mematuhi syarat penganjuran majlis sosial PKPB seperti seperti yang tertakluk pada tempoh itu.

Menurutnya, majlis itu terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad.

Sejak beberapa hari lalu, netizen mempersoal isu kehadiran individu-individu ternama ke majlis tahnik apabila dikatakan terdapat individu dari luar Kuala Lumpur dibenar merentas negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen persoal kehadiran individu ternama di majlis tahnik anak Siti Nurhaliza

'Tiada rentas negeri, tetamu hadir kebetulan berada di KL' - Siti Nurhaliza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!