Pesakit kanser jual arnab bayar PTPTN sudah tiada

Bertarung melawan kansernya, Abdul Halim akhirnya pergi menemui illahi pada bulan Ramadan. Gambar kanan: Abdul Halim amat menyukai kanak-kanak dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.
Bertarung melawan kansernya, Abdul Halim akhirnya pergi menemui illahi pada bulan Ramadan. Gambar kanan: Abdul Halim amat menyukai kanak-kanak dan banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.
A
A
A

MACHANG - Seorang pesakit kanser yang sebelum ini menjual arnab untuk mencari duit bagi membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan merawat penyakitnya telah pergi buat selamanya pada Isnin dengan menitipkan pesan terakhir untuk adik perempuannya.

Abdul Halim Mat Hassan, 27, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meninggal dunia pada Isnin selepas hampir empat tahun menghidap kanser pangkal hidung tahap empat.

"Tolong jaga mak dan ayah," pesan lelaki itu kepada adik perempuannya, Nur Aishah Mat Hassan yang berusia 21 tahun, sehari sebelum meninggal dunia.

Abdul Halim menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga pada jam 1.40 petang di kediamannya di Kampung Kok Kiak dan difahamkan baharu sahaja keluar dari hospital pada Ahad.

"Dia pesan pada saya suruh jaga mak dan ayah kerana dia tidak sempat berbakti sepenuhnya kepada orang tua kami. Dia juga minta saya sampaikan salam pada semua dan ucap terima kasih kerana banyak membantu dia selama ini,' kata gadis itu lagi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Abdul Halim yang disahkan menghidap kanser pangkal hidung pada Disember 2017 menjual arnab bagi menampung perbelanjaan perubatan serta untuk membayar hutang PTPTN.

Laporan tersebut mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak terutama PTPTN yang akhirnya membantu menguruskan pinjaman arwah.

Nur Aishah ketika dihubungi memberitahu, sebelum meninggal dunia keadaan abangnya kritikal dan mengalami sesak nafas serta tidak dapat tidur pada waktu malam.

Artikel Berkaitan:

"Kami reda dengan pemergian arwah dan dia adalah insan terpilih kerana meninggal dunia di bulan mulia ini (Ramadan)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Kiak, selepas Maghrib pada petang Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!