Anggota, pegawai bomba langgar SOP berdepan tindakan tatatertib

Mohammad Hamdan - Foto Bernama
Mohammad Hamdan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikenakan tindakan tatatertib sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sehingga kini dua pegawai termasuk seorang pegawai kanan yang terbukti melanggar SOP perintah kawalan telah dikenakan tindakan tatatertib.

Beliau berkata, salah seorang daripada mereka ditahan di sekatan jalan raya kerana tidak mempunyai dokumen yang sah di Semenanjung, manakala seorang lagi ketika menguruskan perniagaan keluarga lebih masa di Sabah.

"Anggota bomba juga seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen. Mereka tidak akan dibenarkan rentas negeri kecuali tugas rasmi, kecemasan, kematian dan kecederaan.

"Sekiranya berlaku (pelanggaran SOP) kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai berkenaan memandangkan keadaan begini (perintah kawalan) sudah begitu lama dan mustahil pada saya pegawai itu tidak memahami serta mengetahui arahan yang telah ditetapkan," katanya pada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Selangor 2020 di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, seramai 8,296 anggota dan pegawainya telah selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara sehingga Isnin.

"Sehingga kini tiada anggota yang menunjukkan kesan yang kritikal daripada suntikan tersebut," katanya.

Seramai 131 anggota dan pegawai JPBM Selangor serta sembilan anggota bomba bantuan diraikan dalam majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!