Pemilihan bawa Jalur Gemilang lonjak semangat Liu Ying
PEMILIHANNYA sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan, jelas meningkatkan motivasi pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying untuk mempamerkan aksi cemerlang di temasya sukan tersebut.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu yang mengakui agak terkejut dengan pemilihan tersebut, berkata ia merupakan satu penghormatan besar bagi dirinya.
"Saya tidak tahu langsung saya salah seorang calon. Bagi saya perkara ini (pemilihan) sangat membanggakan dan menjadi motivasi bagi saya untuk membuat yang terbaik pada Sukan Olimpik nanti,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Liu Ying berkata tiada tekanan dirasai apabila dipilih selaku pembawa Jalur Gemilang di temasya sukan terbesar dunia itu, malah ia sesuatu yang sangat bermakna.
Penyertaan di Tokyo bakal menjadi kempen Olimpik kedua bagi pemain berusia 31 tahun itu selepas meraih pingat perak bersama Chan Peng Soon di Rio 2016.
Pasangan itu kini menduduki ranking ketujuh dunia.
Terdahulu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan Liu Ying dan pemanah recurve, Khairul Anuar Mohamad sebagai pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!