Aplikasi WFW platform pekerja suarakan aduan, masalah perburuhan

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan aplikasi Working for Workers (WFW) yang akan menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, yang memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dirahsiakan, berkata aduan yang diterima akan diambil tindakan antara tiga dan tujuh hari manakala status pelaporan akan dipantau oleh pengurusan tertinggi kementerian termasuk beliau sendiri dan timbalannya, Datuk Awang Hashim.

"WFW menjadi medium bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat salah laku majikan terbela dan tidak berulang.

“Ini secara tidak langsung dapat memastikan majikan dan pekerja patuh kepada undang-undang perburuhan negara," katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi itu sempena Hari Pekerja di sini pada Isnin.

Beliau berkata, imej negara tercalar di peringkat antarabangsa ekoran tindakan sesetengah pihak industri yang tidak bertanggungjawab dan aplikasi WFW adalah testimoni bahawa kerajaan Malaysia, khususnya KSM, memandang serius serta telus dalam mengendalikan isu perburuhan.

Aplikasi itu membolehkan pekerja melaporkan 14 jenis aduan secara dalam talian yang dikendalikan 80 Pejabat Tenaga Kerja di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!