Kanak-kanak kanser kongsi pengalaman bersama Ani Yudhoyono
ACHEH - INDONESIA. Merasa senasib dengan isteri bekas Presiden Indonesia, Ani Yudhoyono, seorang pesakit kanser di Acheh mengutus surat buatnya.
Dalam surat tersebut, dia menceritakan tentang kisahnya berjuang melawan kanser sekali gus memberi sokongan dan dorongan kepada Ani Yudhoyono untuk terus tabah menghadapi dugaan.
Nurul Amalia, 11, menghidapi leukemia ditemui rumahnya di kawasan Uleekareng Banda Aceh.
“Ini surat, buat ibu Ani... saya tidak tahu hendak pos minta tolong kirimkan ya. Nurul mahu lihat ibu Ani sentiasa senyum dan ceria," katanya kepada Kompas.
Memakai tudung berwarna merah, Nurul kelihatan ceria walaupun diselangi batuk-batuk kecil.
“Saya Nurul, sakitnya sama macam ibu Ani. Dulu diserang penyakit ini sejak usia 9 tahun dan kini telah berusia 11 tahun.
"Nurul menjalani kemoterapi hingga rambut gugur dan kepala botak tetapi kini sudah tumbuh. Dulu kemoterapi sampai muntah-muntah, kini sudah menjadi biasa," katanya.
Sebelum kemoterapi, menurut Nurul dia pernah berasa takut dan sedih kerana tidak dapat pergi ke sekolah dan kurang berkawan.
Namun, berkat doa ahli keluarga, dia kini lebih tabah melawan sakitnya dan memberi inspirasi kepada pesakit kanser yang lain.
“Nurul hanya tahu ibu Ani menghidapi sakit kanser setelah menonton televisyen dan mahu ibu Ani terus gembira meskipun disahkan hidapi kanser," katanya.
Meskipun tidak mengenal lebih dekat isteri Susilo Bambang Yudhoyono, dia tetap ingin menulis surat.
“Nurul memamg suka menulis surat kemudian akan diberikan kepada rakan-rakan, pesakit kanser mahupun sesiapa jua dengan tujuan memberi dorongan dan menyebarkan kasih sayang," katanya.
Terdahulu, berita sedih itu disampaikan Susilo dalam sebuah rakaman video di negara berkenaan seperti dilaporkan portal berita CNN Indonesia pada Rabu.
"Dengan rasa prihatin, saya sampaikan kepada para sahabat di tanah air, Ibu Ani mengalami blood cancer atau kanser darah. Kerana itu, beliau harus menjalani rawatan yang intensif di National Universtiy Hospital Singapura," kata Susilo yang juga Presiden keenam negara itu. - Kompas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!