TLDM, LCS dan pemodenan
SAMBUTAN Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 27 April lalu pasti lebih bermakna sekiranya kapal tempur pesisir (LCS) yang direncanakan pembinaannya tujuh tahun lalu telah belayar megah dengan mengibarkan bendera armada membelah samudera negara.
KD Maharajalela yang sekiranya siap pasti dinobatkan sebagai antara kapal tempur paling canggih di Asia Tenggara. Ciri-ciri pada kapal itu juga sangat bertepatan dengan slogan ‘TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara’ yang menjadi tema sambutan iaitu fokus terhadap kesiagaan armada bagi memelihara kedaulatan perairan negara.
Seiring dengan visi menjadi tentera laut bertaraf dunia, maka armada TLDM perlu dilengkapkan dengan kapal LCS yang memiliki keupayaan peperangan empat dimensi.
Bersama sebuah lagi LCS yang sepatutnya telah siap, KD Maharajalela dan KD Sharif Mashor, sudah pasti kedua-dua kapal perang itu telah diatur gerak ke Laut China Selatan sebagai aset cegah rintang dan amaran kepada pihak luar yang cuba melakukan pencerobohan.
Dengan kemampuan belayar selama 21 hari, kehadiran LCS melakukan rondaan pada tempoh yang lama sangat diperlukan berbanding kapal-kapal peronda yang saiznya berkali ganda lebih kecil. Malah, ciri-ciri halimunan dengan sistem persenjataan berteknologi mu-takhir membuatkan seteru tidak berfikir banyak untuk menjauhi samudera negara kerana mengetahui ada mata-mata yang memantau pergerakan mereka.
Gah pada namanya, malangnya nasib kapal itu yang sepatutnya diterima TLDM dua tahun lalu masih tidak menentu, melainkan implikasi yang terpaksa ditanggung angkatan laut negara iaitu kekurangan kapal-kapal perang sebagai armada barisan hadapan.
Empat lagi LCS yang nasibnya masih kabur ialah KD Raja Mahadi, KD Mat Salleh, KD Tok Janggut dan KD Mat Kilau, kesemuanya bersempena nama tokoh-tokoh pejuang tanah air yang handal.
Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dianugerahkan secara rundingan terus untuk menyiapkan kapal-kapal tersebut dalam tempoh 10 tahun berkuat kuasa 3 Oktober 2013 sehingga Oktober 2023 dengan kos RM9.1286 bilion. Kontrak perolehan itu juga adalah kesinambungan daripada kejayaan BNSSB menyiapkan enam kapal peronda generasi baharu (NGPV) sebelum itu.
Projek
Upacara pemotongan plat besi pertama projek LCS telah dilaksanakan pada 3 Disember 2014 di premis syarikat IHC Metalik, Kindrjik yang terletak 98 kilometer dari Amsterdam, Belanda. Ia disempurnakan oleh Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Datuk Zaiton Johari.
Setelah pemotongan besi dilaksanakan, kits besi yang telah dipotong mengikut lukisan kejuruteraan itu akan dihantar ke Malaysia untuk dicantumkan menjadi blok-blok.
Pernah dilaporkan media pada 31 Oktober 2019 bahawa penyerahan LCS pertama yang dijadualkan pada tahun tersebut terpaksa ditangguhkan susulan BNSSB masih menunggu komponen penting daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat dan ia dijangka tiba penghujung tahun itu.
Ia dijadikan alasan mengapa kapal berkenaan tidak dapat terlibat dalam Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019, hakikatnya ketika itu ia telah pun bergelumang dengan masalah untuk disiapkan.
Kelewatan menyiapkan kapal-kapal itu telah menjejaskan reputasi BNSSB sebagai firma pembinaan kapal perang dan senggaraan aset-aset maritim tersohor. Tidak dapat tidak, isu berkaitan kelemahan tadbir urus turut menyumbang kepada kegagalan projek LCS.
Desakan pihak tertentu yang mahu campur tangan kerajaan agar program LCS diselamatkan sepatutnya tidak berlaku sekiranya amanah untuk menyiapkan aset itu dilaksanakan dengan betul. Namun, mungkin TLDM dapat diletakkan dalam keadaan siaga dengan aset-aset yang dimamah usia, malah bukan rahsia lagi apabila paras kekuatan armada kita semakin terkebelakang berbanding rakan serantau.
Sudah semestinya untuk memelihara kedaulatan samudera negara, TLDM sangat bergantung pada pemilikan kapal perang, kapal peronda, kapal sokongan selain kelengkapan udara yang dinamik.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!