Kisah di sebalik MyKad
[INFOGRAFIK] Cuai merupakan punca utama kehilangan 1,319,979 kes MyKad di negara ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata, kehilangan kad turut disebabkan oleh faktor lain seperti jenayah (363,580 kes) dan bencana (20,410 kes).
“Jumlah direkodkan itu ialah bagi tempoh bermula Oktober 2015 sehingga Disember 2019,” katanya pada Isnin.
Katanya, JPN memandang serius kes kehilangan MyKad dan meminta rakyat menjaganya.
“Orang ramai boleh dikenakan denda RM100 untuk kes kehilangan pertama, kes kedua (RM300) dan ketiga (RM1,000),” katanya.
Menurutnya, siasatan terperinci turut dilakukan bagi bagi kes kehilangan kali ketiga sebelum MyKad baharu dikeluarkan.
“Selain denda pihak JPN juga akan melakukan siasatan terperinci dalam tempoh sehingga 90 hari,” katanya.
JPN ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Dharurat (Kawasan – kawasan Pendaftaran) 1948 dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan.
Peraturan itu memerlukan semua penduduk supaya mendaftar dan memperoleh kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun ke atas.
Sehingga kini, JPN merekodkan sebanyak 23,064,172 pemegang MyKad dan 5,737,215 pemegang MyKid di dalam negara.
JPN yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri turut diberikan tanggungjawab untuk mendaftarkan kelahiran, kematian, anak angkat, perkahwinan, perceraian dan kewarganegaraan.
Di samping itu, JPN juga bertanggungjawab menentukan taraf kewarganegaraan dan seterusnya mengeluarkan dokumen identiti individu dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak.
Malah, JPN dijangka melaksanakan satu sistem permohonan dalam talian bagi pendaftaran dokumen pengenalan diri, kelahiran dan perkahwinan pada Julai ini.
Pelaksanaan sistem itu sebagai usaha JPN memastikan rekod pendaftaran warganegara sentiasa dikemas kini dan teratur, sejajar dengan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam.
Sejak diperkenalkan pada 1948, kad pengenalan warganegara di negara ini telah melalui pelbagai revolusi.
Bermula dengan penggunaan kertas, kad pengenalan negara kita kini dikenali sebagai MyKad yang menggunakan material berkualiti
Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pengenalan diri, malah MyKad juga berfungsi sebagai Prasarana Kekunci Awam (PKI), kad transit (Touch n Go) dan dokumen kesihatan.
Bagaimanapun, MyKad terus melalui proses penambaik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia selamat dan memenuhi fungsinya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, MyKad bakal dinaik taraf dengan teknologi digital terkini lebih canggih sekali gus tidak mudah dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.
“Proses pendigitalan MyKad itu akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti secara terus kesahihan kad berkenaan dengan lebih mudah dan pantas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!