MPS roboh tiga tokong haram

MPS merobohkan tiga tokong kecil atau pondok sembah yang dibina di kawasan awam tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu pada Isnin.
MPS merobohkan tiga tokong kecil atau pondok sembah yang dibina di kawasan awam tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu pada Isnin.
A
A
A

SELAYANG - Sebanyak tiga tokong kecil atau pondok sembah yang dibina di kawasan awam tanpa kebenaran, dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi bersepadu pada Isnin.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, penguatkuasaan dilakukan ke atas sebuah tokong kecil di Taman Ehsan, Kepong dan dua lagi di Selayang Utama.

Menurut Mohamad Zin, pihaknya menerima aduan awam yang struktur didirikan di kawasan awam yang turut menimbulkan kacau ganggu.

"Tindakan perobohan ini dibuat selaras dengan Seksyen 46 (1) a - Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, operasi tersebut adalah yang ketiga kali dijalankan oleh MPS melibatkan perobohan pondok sembah haram.

"Operasi sebelumnya telah dilaksanakan pada 18 dan 26 April lalu melibatkan dua perobohan di Taman Sri Batu Caves dan Perindustrian Rawang Integrated.

"MPS ingin memberi amaran bahawa pemantauan dan tindakan terhadap sebarang binaan tanpa kebenaran akan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan kesejahteraan persekitaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!