Aktiviti khas Ramadan di zon merah dibenarkan

Aktiviti khas bulan Ramadan di semua zon dalam daerah dikenakan PKP di Kedah dibenarkan dengan had waktu yang minimum. - Foto Bernama
Aktiviti khas bulan Ramadan di semua zon dalam daerah dikenakan PKP di Kedah dibenarkan dengan had waktu yang minimum. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Semua aktiviti khas bulan Ramadan di masjid dan surau di lima daerah di Kedah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk zon merah dibenarkan, berkuat kuasa pada Selasa.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, kebenaran itu susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin.

“Aktiviti khas bulan Ramadan di semua zon (dalam daerah dikenakan PKP) adalah dibenarkan dengan had waktu yang minimum. Masjid dan surau hendaklah ditutup setelah selesai solat Jumaat, fardu dan tarawih.

“Solat tarawih dihadkan masa sehingga 10.30 malam sahaja. Solat sunat Aidilfitri dibenarkan di semua zon mengikut kaedah ketetapan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di semua zon juga dibenarkan dengan jumlah jemaah mengikut keluasan ruang solat masjid atau surau mengambil kira penjarakan fizikal minimum satu meter.

Menurutnya, program keagamaan dan majlis ilmu juga dibenarkan dan terhad kepada kuliah Maghrib dan majlis bacaan Yasin (pada hari Khamis malam Jumaat) dalam skala kecil, tidak melebihi 45 minit, serta khusus bagi anak kariah sahaja.

“Mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi arahan ini, boleh dikenakan tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta,” katanya.

Sebelum ini, JHEAIK membuat ketetapan tidak membenarkan semua aktiviti khas bulan Ramadan di masjid dan surau dalam kawasan zon merah di lima daerah tersebut iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim yang dikenakan PKP bermula 1 hingga 14 Mei. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!