Polis Serdang tumpas geng curi tong RORO
SERDANG - Tindakan sekumpulan individu yang dipercayai menjalankan kegiatan mencuri tong 'Roll On Roll Off' (RORO) di daerah ini tumpas apabila kesemua mereka berjaya diberkas polis Serdang pada Rabu.
Kumpulan yang dianggotai warga tempatan serta warga asing itu dikatakan mengecat semula tong yang dicuri sebelum menyewakan atau menjualnya semula dan kegiatan tersebut dipercayai dilakukan lebih daripada enam bulan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Rusdi Daud berkata, kesemua mereka berjaya ditahan dalam serbuan yang dijalankan di ladang sawit Sungai Tangkas, Kajang.
"Serbuan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga India yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian tong RORO dalam daerah ini.
"Kesemua suspek yang ditangkap berumur lingkungan 20 hingga 38 tahun," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, modus operandi kumpulan ini adalah mengenal pasti tempat untuk mencuri tong RORO pada waktu siang sebelum datang kembali pada waktu malam dengan menggunakan lori dan terus mencangkuk tong tersebut.
"Tong RORO yang dicuri dibawa ke ladang kelapa sawit di Kajang untuk proses ubah suai fizikal asal yang dicuri, setelah siap diubah suai, tong ini akan dicat untuk menghilangkan tanda-tanda pengenalan dari syarikat asal dan kemudiannya diletakkan nama syarikat milik salah seorang daripada suspek sebelum disewa atau dijual," katanya.
Beliau berkata, serbuan itu turut berjaya merampas 14 tong RORO, lori dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti jenayah ini.
"Nilai rampasan 14 tong RORO dan sebuah lori dianggarkan lebih kurang RM140,000 di mana anggaran bagi setiap sebuah tong ialah sekitar RM5,000 hingga RM6,000.
"Berdasarkan pengakuan kesemua tangkapan ini, mereka didapati bergiat aktif dalam kegiatan mencuri tong RORO ini dalam daerah Serdang dan Kajang. Terdapat 10 laporan polis yang telah dibuat di bawah pentadbiran IPD Serdang berkaitan kehilangan tong RORO yang dipercayai telah dicuri," katanya.
Menurutnya, dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala tiga lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!