Kesal sikap pemandu guna ruang parkir OKU: Kon Yeow
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kesal dengan sikap sesetengah pemandu kenderaan di negeri ini yang meletak kenderaan mereka di ruang parkir yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata, sikap sedemikian menunjukkan kurangnya kesedaran tentang keperluan dan kesulitan golongan OKU untuk bergerak.
"Walaupun parkir untuk OKU jarang digunakan, pemandu tidak harus meletak kenderaan mereka di situ jika mendapati ruang parkir itu kosong.
"Janganlah menggunakan ruang parkir OKU," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (SDPP) malam ini.
Beliau membuat kenyataan itu berikutan aduan daripada anggota SDPP yang menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan ini.
Beliau mencadangkan SDPP memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran dan menyebarkan maklumat mengenai penjagaan orang kurang upaya di kalangan masyarakat di negeri ini.
Sementara itu, Presiden SDPP, Datuk Teh Lay Kuan berkata, masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi penjagaan golongan orang kurang upaya di Pulau Pinang, khususnya untuk menyesuaikan kemudahan bagi memenuhi keperluan mereka.
Beliau berkata, selain ruang parkir, ramp untuk mereka yang menggunakan kerusi roda yang dibina di beberapa bangunan yang baru siap di negeri ini terlalu curam dan tidak dapat memenuhi tujuannya.
"Kami berharap pihak berkuasa yang berkaitan dapat membantu dalam perkara ini untuk membetulkan keadaan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!