Sarawak benarkan sambutan Aidilfitri hingga 7 Syawal

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa memutuskan untuk membenarkan sambutan Aidilfitri selama tujuh hari di negeri itu bermula 1 hingga 7 Syawal dengan kehadiran dihadkan untuk ahli keluarga terdekat sahaja.

JPBN menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) sambutan Hari Raya secara terperinci boleh didapati di laman rasmi Majlis Islam Sarawak http://www.mis.sarawak.gov.my.

Antara yang dibenarkan ialah solat sunat Aidilfitri di semua masjid, surau, musala dan premis yang mendapat kebenaran Majlis Islam Sarawak sahaja dan bilangan jemaah dibolehkan adalah berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Selain itu, ziarah Hari Raya pula dibenarkan di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan keluarga terdekat sahaja dengan had pengunjung 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di beberapa kawasan di Sarawak, sembilan lokaliti telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari iaitu di Rumah (Rh) Tiut anak Usit, Sungai Setulan, Jalan Pesisir Kuala Tatau, Tatau bermula 28 April hingga 11 Mei.

“Selain itu, Rh. Mujah anak Atin, Batu 12, Jalan Bintulu-Miri, Bintulu (28 April hingga 11 Mei); Rh. Sam anak Sumbang, Jalan Bintulu-Tatau, Bintulu (29 April hingga 12 Mei); Rh. Ajah anak Umkar, Sg Serupai Baru, Tatau (29 April hingga 12 Mei); Kuarters Pekerja Forescom Plywood Sdn Bhd, Bintulu (29 April hingga 12 Mei).

“Seterusnya, Rh. Saran anak Belang, Nanga Tau, Tatau (1 hingga 14 Mei); Rh. Nelson anak Gima, Kuala Setiam, Jalan Pesisir Kuala Tatau, Bintulu (2 hingga 15 Mei); Rh. Jungan anak Mitoh, Sg Mas KM25, Jalan Bintulu-Tatau, Bintulu (2 hingga 15 Mei); dan Rh. Jembu anak Ensor, Rantau Sukat Roban, Betong (3 hingga 17 Mei),” menurut kenyataan itu.

Dua lagi lokaliti PKPD iaitu Kampung Bungey, Debak di Betong dan Kampung Tanjung, Hulu Saratok pula akan bermula esok hingga 18 Mei.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu juga menjelaskan PKPD di Rh. Dinggai, Sungai Amut Atas Lubok Pisang di Pakan dan Rh Jawa, Sungai Kerubong Selalang di Sarikei dilanjutkan hingga 12 Mei.

Sarawak hari ini mencatatkan 620 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 64 peratus daripadanya dikesan di daerah Bintulu, Miri, Kapit, Sibu dan Bukit Mabong menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 32,667.

Sementara itu, empat kes kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 dilaporkan di negeri itu hari ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 188 orang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!