PKR sekarang sudah 'cantik': Abdullah Sani

Abdullah Sani
Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang ini sudah 'cantik' hanya ada satu susuk tubuh kepimpinan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Beliau berkata, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh pemerintahan sekarang melalui 'Langkah Sheraton', PKR juga melalui fasa perubahan positif malah kini dapat memperkasakan parti dengan lebih berkesan.

Menurutnya, PKR juga kini terus berusaha ke arah memperkuatkan tanggungjawab dan iltizam untuk rakyat malah sudah tidak ada lagi 'warlord' dalam parti berkenaan yang menyebabkan ahli PKR berpecah belah sehingga berlakunya Langkah Shareton.

"Sudah tiada ada lagi dah, dulu kan ada puak timbalan, puak presiden, puak ketua umum dan sekarang sudah tidak ada lagi. Sekarang satu sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi kita boleh fokus.

"Kita hendak fokus sekarang untuk pembangunan, apa yang boleh kita lontarkan di atas pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apa yang kita hendak buat hari ini ialah kita hendak memperkukuhkan Keadilan (PKR)," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan apakah agenda besar untuk PKR sejak 1 Mac 2020 dan di mana sokongan mahu dicapai PKR, adakah masih berpusat dengan cadangan Pakatan Harapan (PH) atau pun sudah mula mencari sokongan dan ada kerjasama baharu.

Abdullah Sani berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-253 bertajuk ‘Masa Depan PKR dan Cita-Cita Anwar' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor dan juga Ketua Eksekutif Petra Media, Datuk Afdlin Shauki sebagai panelis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, PKR juga mahu memastikan PH lebih 'sustainable' selain mengalu-alukan 'sahabat-sahabat' politik lain untuk menjalinkan kerjasama baharu dalam gabungan berkenaan.

"Sebab politik hari ini sudah tidak boleh terdesak dalam satu komponen, kita kena kepelbagaian dan acuannya sudah sebar luaskan tidak boleh satu acuan lagi sebab itu (boleh) jadi haru-hara.

"Keadilan (PKR) sentiasa bersiap siaga, berlapang dada dan tidak perlu khuatir. Kita tidak perlu gusar kerana ada dua perkara, satu kukuhnya keahlian (PKR) dan kedua kita dapat banyak sukarelawan untuk mengambil sesuatu keputusan atau tindakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!