Polis rakam keterangan individu berkaitan video TikTok raya
PUTRAJAYA - Individu yang terlibat dalam video TikTok adegan raya yang dimuat naik oleh seorang instafamous di akaun media sosial miliknya melibatkan anggota polis berpakaian uniform di sini telah dipanggil polis untuk dirakam keterangan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, pihaknya tidak pernah membenarkan video tersebut dirakam atau dikeluarkan.
"Semakan lanjut video telah dibuat di mana ia melibatkan kenderaan polis jenis Proton Preve serta kenderaan persendirian jenis Honda City (putih) milik seorang lelaki dan anggota yang terlibat dalam adegan lakonan slot hari raya tersebut dengan berpakaian penuh uniform operasi.
"Dua orang anggota PDRM dan seorang anggota ATM terlibat dalam video ini di mana ketiga-tiga anggota ini sedang bertugas dalam Team Pematuhan SOP PKPP IPD Putrajaya dan lokasi adegan raya ini dilakonkan adalah di Bukit Rimau Presint 3, Putrajaya," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Mohd Fadzil berkata, video tersebut telah mendapat kecaman netizen kerana pelakon tidak memakai pelitup muka serta mempersendakan alasan-alasan yang diberikan bagi tujuan rentas negeri.
"Tiada sebarang bayaran atau sagu hati terlibat atau diterima oleh pihak PDRM dalam hal ini.
"Penama telah dipanggil dan hadir memberi keterangan di IPD Putrajaya," katanya.
Menurutnya, tindakan kompaun atas kesalahan melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh MKN iaitu tidak memakai pelitup muka telah dikeluarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!