Keluarga 28 anak sudah dibantu sejak 2010: LZS

Saipolyazan
Saipolyazan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah keluarga susah yang mempunyai 28 anak di Klang seperti ditularkan di laman sosial sudah menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif LSZ, Saipolyazan M Yusof berkata, keluarga tersebut merupakan asnaf miskin berdaftar yang diberi pelbagai bantuan seperti bantuan kewangan, sewa rumah, bantuan kecemasan serta bantuan modal pada tahun 2013.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling untuk ketua keluarga dan ibu-ibu terbabit serta melihat potensi anak-anak mereka untuk diberikan kursus vokasional bagi mengubah hidup sekeluarga.

“Ini antara kerangka tindakan dalam pembangunan asnaf di Selangor yang mana 47,000 daripada 65,000 orang termasuk mualaf yang kita kategorikan di bawah Asnaf Produktif.

“Kita turut mengadakan sesi induksi yang mana kita berikan motivasi kepada mereka termasuk menandatangani surat aku janji untuk berubah menjadi lebih baik,” katanya ketika Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini pada Selasa.

Saipolyazan berkata, kes tular berkenaan keluarga asnaf yang didakwa tidak dibantu pihak LZS biasanya kes berulang dan berdaftar di bawah pihak tersebut.

Ujarnya, kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor yang menjumpai mana-mana keluarga asnaf biasanya akan memeriksa dengan pihak LZS terlebih dahulu.

“Mungkin NGO tersebut masih baharu atau tidak faham bahawa LZS bekerjasama dengan ramai pihak, malah terdapat sebahagian geran bantuan turut disalurkan kepada mereka untuk membantu asnaf tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengharapkan perkara tular sebegini tidak berlaku lagi kerana isu sebegini memberikan kesan kepada kutipan zakat akibat hilangnya kepercayaan terhadap institusi ini,” katanya.

Pada Selasa, keluarga berkenaan menjadi tular di laman sosial apabila hidup dalam serba kekurangan.

Menurut seorang sukarelawan, Nur Ima Rahman, keluarga besar tersebut mempunyai empat orang isteri dan anak-anak yang berusia 2 hingga 22 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!