Sri Pahang FC nafi rekrut Shahrul
SRI Pahang FC menafikan khabar angin sudah merekrut kapten Perak FC, Shahrul Mohd Saad dalam memperkuatkan cabaran skuad kendalian Dollah Salleh itu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang tidak menafikan pihaknya sedang merancang bagi mendapatkan khidmat beberapa pemain tempatan baharu dalam memantapkan skuad Tok Gajah.
“So far isu Shahrul Saad menyertai Sri Pahang yang tular di media sosial hari ini hanya merupakan khabar angin yang saya sendiri tidak tahu dari mana portal berkenaan memetik sumber kesahihan berita ini.
“Ya, saya akui Sri Pahang seperti kelab-kelab Liga-M lain pun sedang giat mencari pemain tempatan dengan pembukaan jendela perpindahan yang dibuka sejak 3 Mei lalu.
“Cuma pada masa ini fokus kami pada pusingan kedua ini adalah untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan liga, bermula dengan menentang Selangor FC esok (Rabu),” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Mengulas perlawanan menentang Selangor FC, Mohammed Suffian berkata, anak-anak buah Dollah bersemangat untuk berdepan The Red Giants di Stadium Darul Makmur, Kuantan nanti.
Menurutnya, kemenangan besar 5-0 ke atas UiTM FC pada 2 Mei lalu meningkat motivasi dalam kalangan pemain bagi memperbaiki kedudukan mereka yang menghuni kelompok bawahan liga.
“Apa yang saya lihat, prestasi pemain-pemain berada pada tahap terbaik selepas mendapat tonik menewaskan UiTM tempoh hari. Harap kami dapat mengekalkan momentum kemenangan itu.
“Kemungkinan juga tiga import baharu disenaraikan bagi memperkuatkan skuad Tok Gajah iaitu Aung Kaung Mann dari Myanmar, Manuel Hildago (Argentina) dan Abubakar Yakubu (Ghana) diturunkan pada perlawanan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!