Mutasi Covid-19 India lebih bahaya
SHAH ALAM - Pakar virologi memberi amaran varian Covid-19 dari India lebih serius berbanding varian terdahulu dari segi tempoh penyebaran kerana mempunyai mutasi berganda yang memberi kesan lebih buruk kepada pesakit yang dijangkitinya.
Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, perbezaan antara varian India dengan varian terdahulu yang ada di negara ini adalah dari segi transmisi yang lebih pantas, sebaran yang cepat berlaku dan lebih mudah untuk dijangkiti.
“Pada asasnya, varian ini menyebabkan satu transmisi yang lagi pantas. Dari segi virologinya, apabila proses penghasilan virus lebih pantas berlaku, ia akan menyebabkan kerosakan teruk kepada seseorang itu.
“Terdahulu, mereka dalam golongan 20 tahun ke 40 tahun yang dijangkiti varian sebelum ini, biasanya tak bergejala kerana mempunyai sistem imun yang optimum.
“Namun, dengan varian mutasi berganda ini, kumpulan ini juga tidak terkecuali menunjukkan kesan yang teruk.
“Ini terbukti bahawa kesan daripada varian ini lebih bahaya dari varian yang terdahulu seperti varian Afrika Selatan atau United Kingdom (UK),” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa varian India perlu diberi lebih perhatian supaya proses penyebarannya dapat dikawal secepat mungkin.
“Sekiranya terdapat lebih banyak jangkitan disebabkan varian ini, tidak mustahil akan berlaku peningkatan yang mendadak seperti yang berlaku di negara India.
Beliau menegaskan jika ia boleh berlaku di India, maka tidak mustahil perkara yang sama berlaku di Malaysia dan oleh yang demikian, mutasi berganda seperti varian Covid-19 dari India ini amat perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan rakyat negara ini.
Beliau juga amat bersetuju dengan kerajaan yang mengambil langkah segera untuk menyekat kemasukan pelawat dari India di samping membuat saringan terhadap mana-mana pelawat dengan lebih teliti untuk mencegah varian ini dari memasuki dan merebak di Malaysia.
Kes pertama mutasi berganda dari varian India dikenali sebagai B.1.617.1 dikesan di Malaysia pada 2 Mei yang lalu.
Turut menyokong pendapat beliau ialah Pakar Kesihatan Awam dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman yang berpendapat, varian mutasi berganda yang cepat merebak itu punca kegusaran pakar perubatan.
Jelas beliau, varian mutasi berganda ini boleh menyebabkan gejala dan kesan yang lebih teruk pada rawatan yang di berikan.
“Contohnya, menjejaskan program vaksin yang berlaku sekarang ini dan hal inilah yang menjadi kerisauan pakar-pakar perubatan dan saintis.
“Apabila ia cepat merebak, kesan itu pada perkhidmatan kesihatan. Contohnya di India, ramai orang jatuh sakit pada masa yang sama. Jadi pihak kesihatan tak menang tangan dan menyebabkan ramai tidak mendapat rawatan sebaik-baiknya lalu meninggal,” katanya.
Menurutnya, walaupun terdapat kebimbangan dalam varian baharu, faktor utama yang patut dititikberatkan oleh masyarakat ialah kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegahnya.
“Varian bukan faktor utama. Yang penting adalah setiap orang harus menjaga SOP. Jika SOP dapat dikawal dengan baik dan mencegah penularan, datanglah varian apa pun kita dapat mengawalnya daripada merebak,’’ tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!