Jun Hoong sambar tiket Olimpik

Jun Hoong (kanan) dan Azizulhasni sandaran terbaik Malaysia dalam memburu emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Jun Hoong (kanan) dan Azizulhasni sandaran terbaik Malaysia dalam memburu emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

KEJAYAAN penerjun wanita negara, Cheong Jun Hoong meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 meletakkan dia kini sebagai antara prospek pingat pada temasya di Tokyo nanti.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Jun Hoong membuktikan betapa dia masih mampu menjadi sandaran kontinjen Malaysia dalam pemburuan emas sulung Olimpik.

Menurut Mohamad Norza, kejayaan Jun Hoong itu juga sudah pasti membakar semangat barisan atlet negara yang masih berjuang memburu tiket ke Tokyo dalam beberapa kejohanan kelayakan.

“Bagi saya ini satu pencapaian yang membanggakan setelah Jun Hoong terpaksa berehat panjang akibat kecedeaan lutut yang agak serius. Saya dan seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaiannya itu.

“Sebagai seorang atlet yang pernah muncul juara dunia, dia telah menunjukkan semangat luar biasa sehingga berjaya layak ke Sukan Olimpik. Inilah contoh terbaik yang harus diikuti oleh atlet-atlet lain.

“Saya harap kejayaan Jun Hoong itu juga menjadi pencetus untuk kita terus menambah wakil pada Sukan Olimpik di Tokyo nanti. Semua itu tak mustahil jika setiap atlet menunjukkan semangat juang tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Terdahulu, Jun Hoong berjaya menyambar slot Olimpik Tokyo 2020 selepas mengungguli pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu wanita pada Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo.

Kejayaan Jun Hoong itu berikutan dia mengumpulkan 345.30 mata untuk layak ke peringkat separuh akhir dalam acara yang akan berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum kejayaan Jun Hoong itu, empat atlet terjun negara telah mengesahkan tiket Olimpik Tokyo 2020 iaitu Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee.

Selain lima wakil dalam acara terjun setakat ini, atlet Malaysia yang telah layak ke Tokyo termasuklah Khairul Anuar Mohamad (memanah); Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran - Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berharap barisan penerjun negara terus berjuang dalam memburu kejayaan pada Piala Dunia Terjun FINA 2021 kali ini yang menjadi antara kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya berharap mereka jangan berputus asa kerana kita pun faham... selama 15 bulan mereka dalam keadaan ketidaktentuan ekoran pandemik Covid-19, kejap ada, kejap batal (kejohanan).

“Apa pun, mereka perlu teruskan berlatih sehingga berjaya mencapai impian masing-masing. Diharapkan semangat mereka tidak luntur menjelang Sukan Olimpik di Tokyo,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!