31 pokok tumbang akibat ribut
BERUAS - Hampir sembilan jam masa diambil anggota bomba untuk memotong dan mengalihkan pokok tumbang di 31 lokasi berasingan sekitar Pantai Remis di sini pada Selasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis menerima laporan pokok tumbang akibat ribut pada jam 8 malam.
"Kejadian pokok tumbang merintangi jalan berlaku antaranya di Tebuk Yan, Kampung Indah, Segari, Pengkalan Bharu, Kampung Tanjung Ara dan Kampung Cina.
"Daripada aduan itu, tujuh kejadian pokok tumbang telah mengenai rumah penduduk di Kampung Indah, Kampung Bumi Hijau, Tanjung Ara Dalam, Jalan Haji Ali dan Sungai Batu," katanya.
Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.
"Operasi pembersihan dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pantai Remis.
"Tindakan anggota di lokasi adalah memotong pokok menggunakan gergaji rantai sambil dibantu jentera berat milik MPM untuk mengalihkannya bagi memastikan jalan raya dan kawasan persekitaran selamat," katanya.
Katanya, operasi yang diketuai Mohd Akmal Hussin itu tamat pada jam 4.32 pagi pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!