PKP: Suasana agak suram di Pekan Rabu

Peniaga pakaian, Zurina Che Ya, 56, menyusun pakaian raya di hadapan kedainya di Kompleks Pekan Rabu di sini.
Peniaga pakaian, Zurina Che Ya, 56, menyusun pakaian raya di hadapan kedainya di Kompleks Pekan Rabu di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kompleks Pekan Rabu di sini kelihatan agak suram menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah di Kedah termasuk Kota Setar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Kompleks Pekan Rabu yang kebiasaannya penuh dengan pengunjung dari pelbagai daerah bagi mendapatkan pakaian raya dan kuih muih kini agak sunyi berbanding sebelum ini.

Peniaga pakaian, Zurina Che Ya, 56 berkata, walaupun hari raya bakal menjelma tidak lama lagi tetapi hasil jualannya agak merosot ketika ini berbanding tahun lepas dan ketika awal Ramadan berikutan kekurangan pelanggan.

"Sebelum ini, jualan agak baik namun mula berkurangan apabila PKP dilaksanakan kerana pelanggan dari daerah lain tidak dapat ke Pekan Rabu untuk mendapatkan barangan bagi menyambut Aidilfitri.

"Kebanyakan pengunjung Pekan Rabu adalah orang luar dari daerah lain seperti Langkawi, Sungai Petani dan Baling yang sanggup datang ke Pekan Rabu semata-mata untuk mendapatkan pelbagai barangan raya masing-masing," katanya.

Dia berkata, kini pelanggan dari luar tidak dapat merentas daerah susulan PKP dilaksanakan di Kota Setar menyebabkan perniagaan di Pekan Rabu hanya bergantung kepada penduduk Alor Setar sahaja.

"Bayangkan, banyak baju tidak terjual apabila hanya tiga ke empat pelanggan sahaja yang datang dalam sehari sejak PKP dikuatkuasakan berbanding 50 pelanggan setiap hari sebelum ini," katanya.

Justeru Zurina berharap kelonggaran ke atas beberapa prosedur operasi standard (SOP) dapat diberikan sekaligus dapat membantu meningkatkan jualan pakaian raya di kedainya pada minggu terakhir Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Bagi peniaga kuih, Aishah Md Saman, 60 pula berkata, peniaga kuih muih sepertinya turut menerima nasib sama walaupun hari raya hanya tinggal beberapa hari lagi.

"Jualan agak merosot dan tidak sebanyak dahulu namun nasib saya agak baik sedikit berbanding peniaga pakaian disebabkan kuih tradisional ini tidak hanya khusus untuk bulan Ramadan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, dia turut mendapati suasana kompleks Pekan Rabu yang semakin suram apabila tidak semua kedai dibuka.

Mohd Asmirul berkata, situasi yang berlaku amat menyedihkan apatah lagi Pekan Rabu merupakan ikonik kepada perniagaan masyarakat Melayu Kedah yang amat dibanggakan.

"Bayangkan hanya tinggal lagi sembilan hari untuk menyambut Aidilfitri namun PKP yang dilaksanakan secara tiba-tiba seakan-akan meragut nyawa perniagaan mereka.

"Rata-rata peniaga mengadu dengan situasi terkini PKP yang disifatkan kian membebankan mereka. Malah ada yang dilihat keliru dengan peraturan yang berubah-ubah," katanya.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sewajarnya telah mantap dengan pelbagai pilihan yang boleh diikuti peniaga untuk membolehkan mereka mencari rezeki selepas setahun berdepan Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Ridhuwan Mustafa berkata, ramai peniaga mengharapkan kelonggaran dapat diberikan kepada mereka.

"kalau boleh dilonggarkan lima enam hari sebelum hari raya pun jadilah bagi membolehkan kami menjual barangan masing-masing dan mencari rezeki.

"Mungkin kelonggaran untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam boleh diberikan berbanding hanya sehingga jam 10 malam yang ditetapkan ketika ini," katanya.

Tambah beliau, pihaknya tiada masalah untuk mendapatkan bantuan daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memastikan SOP seperti pemeriksaan suhu dan pendaftaran MySejahtera dapat dipatuhi.

"Kompleks Pekan Rabu mampu memuatkan 1,000 pelanggan dalam satu-satu masa, namun kami juga sedia menyediakan sistem nombor giliran untuk mengawal bilangan kemasukan pengunjung kepada sekitar 300 hingga 400 orang bagi membolehkan penjarakan sosial dapat dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!