UMNO akan lawan Hamzah di Larut
IPOH - UMNO Perak akan meletakkan calon menentang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di kerusi Parlimen Larut sekiranya pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal bertanding di kawasan itu.
Setiausaha UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, perkara itu berdasarkan keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Menurutnya, semua kerusi ditandingi UMNO pada PRU14 lalu akan kekal ditandingi oleh parti itu termasuk kerusi Parlimen Larut yang dimenangi Hamzah atas tiket UMNO sebelum melompat menyertai Bersatu.
"Setakat ini belum lagi dibincangkan (calon) tetapi secara logiknya memang kita akan meletakkan calon (di kerusi Parlimen Larut) kerana kerusi itu memang kerusi UMNO asalnya.
"Berdasarkan apa yang diputuskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO bahawa tidak akan bersama Bersatu semasa PRU, besar kemungkinan kita meletakkan calon," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Kepada Ibu Tunggal dan Asnaf anjuran Persatuan Bakti Gemilang Perak di Jo Bakery Cafe di sini pada Selasa.
Hadir sama pada majlis itu, Presiden Persatuan Bakti Gemilang Perak Muhammad Khalish Nantha Rajendran.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita bahawa UMNO akan meletakkan calon terkuat pada PRU15 di kerusi Parlimen Larut menentang Hamzah.
Memetik sumber, portal berita itu mendedahkan antara calon yang akan dipertimbangkan bertanding termasuklah Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Larut.
Sementara itu, Aminuddin ketika ditanya mengenai calon menjelaskan UMNO Perak belum menamakan mana-mana individu untuk bertanding di kawasan itu kerana masih terlalu awal.
Bagaimanapun katanya, senarai calon akan dicadangkan oleh UMNO Bahagian Larut sebelum diperhalusi oleh UMNO negeri untuk dihantar ke pusat.
Dalam pada itu, mengenai program sumbangan tersebut, Muhammad Khalish Nantha berkata, seramai 60 ibu tunggal dan golongan asnaf diberikan bantuan barangan keperluan.
Menurutnya, pemberian tersebut disumbangkan untuk meringankan beban mereka di dalam bulan Ramadan.
"Alhamdulillah, usaha ini kita akan teruskan dari masa ke masa malah kita juga turut menyediakan bank makanan untuk mereka yang memerlukan ambil di kedai kami ini.
"Bagi sesiapa yang ingin menyumbang juga kita amat alu-alukan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barang keperluan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!